ATM perluas DMZ seluruh Hospital Angkatan Tentera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperluaskan Zon Pengurusan Bencana (DMZ) di seluruh Hospital Angkatan Tentera (HAT) bagi menampung keperluan rawatan pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan ATM Lt Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh ketika meninjau operasi DMZ di HAT Tuanku Mizan, di Wangsa Maju, di sini, berkata konsep zon itu sesuai dilaksanakan di semua HAT di seluruh negara terutamanya dalam menangani pandemik dan bencana.

- Advertisement -

Sementara itu, Pegawai Memerintah HAT Tuanku Mizan Brig Jen Datuk Dr Rosman Ab Rahman berkata perkhidmatan di DMZ ini tidak terhad kepada pesara dan anggota ATM sahaja malah mula menerima kesemua pesakit awam khususnya di Lembah Klang.

“Kami menerima mana-mana pesakit Covid-19 yang dirujuk dari Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dan mana-mana hospital awam yang berdekatan untuk dirawat.

“Kami mempunyai lima pakar perubatan, masing-masing satu pakar bius dan pakar kecemasan serta sembilan pegawai perubatan yang dibantu 12 jururawat dari Kementerian Kesihatan (KKM) dan 82 staf ATM,” katanya.

Mengenai jumlah katil, Dr Rosman berkata kapasiti asal katil di DMZ HAT Tuanku Mizan adalah sebanyak 50 katil tetapi telah ditambah kepada 150 katil lagi khusus untuk pesakit yang memerlukan rawatan bekalan oksigen.

Ketika ini seramai 84 pesakit Covid-19 sedang dirawat di DMZ HAT Tuanku Mizan iaitu di Unit Rawatan Rapi seramai enam pesakit, 48 pesakit kategori 4 manakala 30 pesakit kategori 3.

Pada 9 Julai lepas, ATM menyediakan DMZ HAT Tuanku Mizan bagi menampung keperluan rawatan pesakit Covid-19 kategori empat dan lima yang semakin meningkat.

DMZ berkenaan ditempatkan di kawasan parkir bawah tanah HAT yang telah digazetkan sebagai DMZ dan direka khas semasa awal pembinaan hospital berkenaan bagi menghadapi kes-kes bencana kimia dan biologi. – BERNAMA

- Advertisement -