GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) telah meneliti tawaran pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan ambilan tahun 2021 lulusan SPM 2018, 2019 dan 2020. Di antara syarat kelayakannya ialah mempunyai Sijil Unified Examination Certificate (UEC).
Gerakan Pembela Ummah dengan tegas dan konsisten menolak secara keseluruhan sistem pendidikan UEC dan sistem peperiksaannya. UEC merupakan Sistem Peperiksaan Menengah sekolah vernakular yang diuruskan oleh pihak Dong Zhong sejak tahun 1975, dan ianya berkiblatkan silibus dari negara Taiwan.
Peperiksaan UEC digunakan oleh Sekolah-sekolah Vernakular Kaum Cina di peringkat rendah dan menengah. UMMAH sekali lagi menegaskan pendirian menolak secara keseluruhan sistem pendidikan Vernakular dan sistem peperiksaan UEC berdasarkan kepada asas dan polisi pendidikan negara seperti di bawah:
1. Sistem peperiksaan di Malaysia berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara yang berpandukan kepada Akta Pendidikan Negara 1996 dengan Kurikulum Pendidikan Kebangsaan dan Sistem Peperiksaannya sendiri.
2. Sistem pendidikan UEC adalah bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Negara, Kurikulum Kebangsaan dan Sistem Peperiksaan Kebangsaan, kerana ia adalah peperiksaan swasta.
Keadaan ini akan menyebabkan wujudnya dwi standard dalam Sistem Pendidikan Negara dan merosakkan identiti Pendidikan Kebangsaan dan akhirnya menghakis aspirasi perpaduan nasional.
Maka UMMAH mendesak supaya Menteri KPM membatalkan syarat UEC bagi tawaran kemasukan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kementerian Pendidikan Malaysi(KPM). Syarat UEC ini telah secara terang-terangan telah melanggar Sistem Pendidikan Kebangsaan dan Sistem Peperiksaan Kebangsaan.
MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) – HARAKAHDAILY 15/7/2021