Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Semua ahli politik disaran berhenti bermain politik sebaliknya tunjukkan kebersamaan dengan kerajaan dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19 sekarang.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kebersamaan seperti yang pernah berlaku ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 berjaya mengurang kes harian Covid-19.
Kata beliau sekarang rakyat berdepan dengan pelbagai kesukaran kerana berdepan dengan PKP sehingga menyukarkan mereka untuk mencari rezeki.
Oleh itu menurutnya kemantapan kerajaan begitu penting bagi mengharungi cabaran pandemik yang begitu membimbangkan sekarang.
“Alhamdulillah apa yang berlaku semalam, saya mengucap rasa syukur kerana seluruh anggota kabinet berjiwa besar memberi sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kerajaan sekarang perlu dipertahankan bagi membolehkan seluruh tenaga dan kepakaran digunakan bagi mengekang penularan Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, ahli-ahli jemaah menteri sebulat suara memberi sokongan padu kepada kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Pada kenyataan juga mereka menyatakan memberi keutamaan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, sokongan padu jemaah menteri itu menunjukkan kepimpinan Muhyiddin masih utuh walau pun dilanda pelbagai ujian dan cabaran. – HARAKAHDAILY 15/7/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!