YA, netizen itu saya, anda dan mereka. Yang memanfaat media sosial dan internet setiap hari. Yang jumlah ‘masa paparan’nya tinggi saban minggu. Kita sering kecam politikawan berpolitik, dan tidak sensitif. Dalam hantaran kita, kita memaki, mencela dan mengkritik keras politikawan. Zalim, gagal, bodoh dan bebal. Ada kritikan membina, ada juga sekadar nista membabi buta. Asal silap, mahu berbeza. Asal ada isu, terus melabel dan membuat rumusan.
Netizen kini terlalu berpolar, sehingga kekutuban itu sukar lagi bercantum. Dalam ‘bubble’ kenalan anda, pasti ada dua kutub – Pro-Kerajaan dan Pro-Pembangkang sekurang-kurangnya. Ia mewakili pandangan dan pegangan. Tiada salahnya memilih pegangan politik dan polar mana anda ingin berada, cuma ia kini sudah lebih daripada itu. Ia sudah jadi Perang Proksi Maya.
Perang Proksi Maya ini tidak menguntungkan sesiapa:
1. Kritikan terbuka anda di dalam ‘bubble’ kenalan anda, pada kebanyakan masa tidak sampai pun secara langsung kepada yang dikritik. Ya, ada kritikan yang tular melangkaui ‘bubble’, dan ada kumpulan sistematik yang menjadi pendesak tular seperti tentera sayuran tertentu. Tapi bukan anda. Hantaran anda tidak tular pun.
2. Kalau anda mahu anggap ia sebagai proses melepas tekanan, ia tidak berjaya pun. Kerana pelepasan tekanan itu mewujudkan tekanan yang lain pula. Anda nyatakan ekspresi anda dalam hantaran untuk kurangkan tekanan, kemudian ditimpa dengan komen-komen ganas, menambah lagi tekanan dan ‘butthurt’. Lebih murung dari sebelumnya, dan penat menjawabnya.
3. Lebih buruk, kritikan anda sebagai proksi kekutuban itu, menjauhkan kenalan dalam ‘bubble’ anda. Ia mencederakan ‘timeline’ rakan dan sahabat (di dunia sebenar anda). Mereka yang sebenarnya terkesan, kerana mereka juga berpolar. Polar mereka yang disentuh dan dikritik anda menyebabkan mereka terasa. Pendek kata, tiada siapa beroleh manfaat.
Dalam era pandemik mencabar ini, kita tidak perlu negativiti sebegini. Negativiti ini menambah tekanan dan kecelaruan emosi. Sudahlah duit menyusut, otak kusut, kaki sudah lama tak berkasut, ditambah pula media sosial yang mencetus ribut dalam perut.
Ramai saya lihat berkata mahu bercuti dari Facebook. Mahu nyahaktif sementara akaun. Mahu jauhkan diri dari media sosial kerana terlalu negatif. Itulah kesan perang proksi maya ini. Cukuplah.
Kritikan membina itu tentunya perlu, tetapi kalau sesuatu isu itu telah tular oleh mereka yang bekerja untuk itu, kita tidak perlu menangguk di air keruh hanya untuk menunjuk kita tahu, dan mahu mencuit dan menyakit hati kenalan dalam ‘bubble’ kita.
Kes naik, penyokong PH maki, kes turun penyokong PN maki. Penyokong PH kata #KerajaanGagal, penyokong PN kata #KerajaanSelangorGagal. Sampai bila negativiti ini? Sekurang-kurangnya kupaslah fakta kalau perlu. Saranan saya, marilah sebarkan perkara positif. Cadangan saya ialah tanda pagar:
#JOMpatuhSOP
#JOMpatuhSOP
#JOMpatuhSOP
Gunakan tanda pagar ini dan pamerkan usaha anda patuh SOP, dan gambar-gambar positif patuh SOP. Gambar beratur dengan jarak 1 meter, gambar makan bungkus, gambar aneka pelitup muka, dan apa sahaja yang positif.
Tularkan tanda pagar tersebut supaya ia mengatasi perkara negatif yang lain. Kita sekarang perlukan motivasi, dan kekuatan emosi. Jadilah kenalan dalam ‘bubble’ yang membantu. Bukannya setiap hari berfikir ‘apa nak maki dalam WhatApps hari ini?’, ‘apa point nak hentam penyokong PH hari ini’, atau ‘yesss, dah ada point nak hentam’,
Inilah manifestasi sebenar #KitaJagaKita. Kita jaga hati dan emosi sesama kita. Sebarkan positiviti. Kita boleh menang.
YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 15/7/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/1460461665/posts/10225256016455035/