Oleh SARINA ISMAIL
KUBANG PASU: ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ antara kata-kata keramat yang menjadi pegangan Group WhatsApp Anak Muda Kampung Tok Jalai, Jitra.
Mereka tampil membantu golongan terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik Covid-19 sekarang.
Kumpulan itu terdiri daripada anak-anak muda berlatar belakang sebagai petani, peniaga kecil, pemandu dan bekerja sendiri.
Mereka bersepakat membantu golongan sasaran yang putus bekalan keperluan harian dengan menggunakan dana yang dikumpul daripada pelbagai pihak.
Ketua kumpulan anak muda terbabit, Mohd Syafiq Abd Rahman berkata, inisiatif itu terhasil daripada perbualan santai semasa ahli kumpulan berkaitan pandemik Covid-19 yang semakin mencabar sekarang.
“Awalnya kami hanya berbual biasa di group whatsApp sehingga timbul idea untuk bersama-sama mengembling tenaga membantu penduduk yang memerlukan bantuan terutamanya warga emas,” katannya ketika dihubungi di sini.
Katanya, berbekal dengan kutipan RM2,000 sebanyak 50 pek makanan disediakan dan diedarkan kepada penduduk sekitar kampung berkenaan.
Menurutnya bantuan seumpama itu akan diteruskan sehingga tamat PKP dan sekarang turut diberi fokus kepada sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Program sebegini selain bertujuan membantu golongan terkesan ia juga untuk memupuk minat anak-anak muda khususnya yang bekerja sendiri supaya menghayati nilai kemasyarakatan.
“Melalui program turun padang kita dapat mendidik anak-anak muda agar tampil bersama masyarakat terutama dalam keadaan meruncing sekarang,” tambah beliau.
Mohd Syafiq juga berharap program seperti itu mendapat kerjasama semua pihak.
Oleh itu kata beliau mana-mana pihak yang ingin sama membantu penduduk miskin boleh menghubunginya di talian 013-460 4468. – HARAKAHDAILY 15/7/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!