Terkesan sebaran berita tidak benar perlu lapor polis

PUTRAJAYA: Pihak yang terkesan dengan penyebaran berita atau kandungan tidak benar melalui aplikasi dalam talian diminta membuat laporan polis dengan menyertakan bukti seperti tangkap layar serta pautan (URL) kandungan berkenaan, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menerusi satu kenyataan hari ini MCMC memaklumkan laporan boleh dibuat di balai polis berdekatan bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan mengemukakan juga maklumat seperti nama dan maklumat individu iaitu ID akaun dan nombor telefon yang melakukan sebaran.

Advertisement

Menurut MCMC pihaknya memandang serius penyebaran berita atau kandungan tidak benar terutamanya melalui aplikasi pemesejan seperti WhatsApp yang boleh mengakibatkan ketakutan, panik, kegusaran atau kekecohan kepada orang awam, serta berpotensi memudaratkan negara terutama dalam keadaan menghadapi pandemik Covid-19.

“MCMC sentiasa komited untuk memberikan kerjasama bantuan teknikal kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan yang akan membantu tindakan penguatkuasaan diambil oleh pihak PDRM,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu menyatakan pihak yang terkesan juga digesa membuat kenyataan penafian atau penjelasan terhadap dakwaan yang tidak benar atau tidak tepat bagi menghentikan berita dan kandungan berkenaan daripada terus disebarluaskan.

Selain itu, katanya laporan penyalahgunaan secara terus boleh dibuat kepada penyedia platform seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube dan TikTok bagi memastikan penggunaannya mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan pihak penyedia platform yang berpangkalan di luar negara.

Orang ramai juga dinasihatkan memanfaatkan portal Sebenarnya.my dengan menyalurkan maklumat yang diragui kesahihannya melalui ruangan “Salur Kepada Kami” (https://sebenarnya.my/salur/), dan maklumat itu kemudiannya akan disalurkan kepada kementerian dan agensi terlibat untuk tujuan pengesahan.

“Berhenti menyebarluaskan sebarang kandungan yang diragui atau tidak ditentukan kesahihannya,” kata MCMC. – BERNAMA