KUALA LUMPUR: Tindakan awal diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 5 Julai lepas dengan menempatkan remaja OKU, Bella di bawah JKM sepenuhnya.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pihaknya akan meneliti lebih lanjut berkaitan isu tersebut.
“Saya mengadakan lawatan mengejut bersama Pengarah JKM Kuala Lumpur dan penguat kuasa JKM ke Rumah Bonda dan mengenal pasti beberapa isu berkaitan kes adik Bella yang ditular.
“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan dan JKM untuk diambil tindakan,” katanya pada lontaran di media sosialnya semalam.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja ‘sindrom down’ berusia 13 tahun yang dikenali dengan nama Bella didakwa didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.
Kanak-kanak itu diselamatkan dari satu rumah panjang di Jalan Kukuban di Taman Setapak, Kuala Lumpur.
Malah polis memaklumkan kertas siasatan kes remaja terbabit dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Siti Zailah juga berkata, pihaknya berhubung dengan PDRM bagi mengetahui status siasatan yang dijalankan berhubung kes tersebut.
“Pihak PDRM memaklumkan siasatan selesai, tindakan seterusnya akan diambil segera.
“JKM juga menjalankan siasatan ke atas rumah kebajikan swasta tersebut dan beberapa tindakan susulan telah dan sedang diambil. Kami memandang serius kes-kes sebegini dan tidak akan berkompromi,” ujarnya.
Menurutnya juga kesemua penghuni di Rumah Bonda dipindahkan sepenuhnya dan diletakkan di bawah jagaan dan seliaan JKM.
Malah kata beliau pegawai penguat kuasa JKM Kuala Lumpur turut menyita Rumah Bonda yang didapati menjalankan operasi tanpa kebenaran dan tidak didaftarkan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.
“Pihak JKM memandang serius perkara itu dan mana-mana pusat jagaan yang tidak berdaftar akan dikenakan tindakan yang sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2021