Individu dari luar Kelantan wajib kemuka keputusan calitan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mana-mana individu dari luar Kelantan yang ingin memasuki ke negeri ini wajib mengemukakan keputusan ujian calitan sebelum membuat permohonan rentas negeri.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin berkata, langkah itu merupakan salah satu usaha dalam membendung penularan jangkitan Covid-19 di negeri itu

Katanya, Kelantan merekodkan sebanyak tiga kluster baharu yang tercetus akibat berlaku aktiviti rentas negeri bagi tujuan kecemasan.

- Advertisement -

“Untuk makluman kemasukan kluster tersebut dari Kuala Lumpur dua kes, Selangor (2) dan Melaka (1).

“Oleh itu mana-mana individu perlu menjalani ujian calitan sebelum mereka hadir membuat permohonan di Balai Polis. Ini bagi mengekang penularan berlaku di Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Menurutnya keputusan ujian calitan itu perlu dilampirkan bersama surat permohonan rentas negeri yang diluluskan oleh pihak polis.

Tambah beliau, kebanyakan individu yang berada di Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai risiko tinggi terkena jangkitan berpandu situasi semasa ketika ini kerana kebanyakan mereka positif tidak mempunyai simptom.

Dr Izani berkata, ujian calitan dilakukan sebelum memasuki Kelantan merupakan langkah terbaik dalam membendung penularan jangkitan.

Malah katanya, individu yang mendapat kebenaran merentas negeri turut diingatkan supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan rantaian itu.

“Ini kerana kita bimbang jika langkah awal tidak diambil penularan Covid-19 yang telah reda ketika ini akan kembali parah sebagaimana sebelumnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2021

- Advertisement -