Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan pendekatan Smart Containment sebagai solusi mengurangkan kadar jangkitan virus Covid-19 di Malaysia dan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya, satu langkah lebih agresif perlu diberi tumpuan di Selangor dan Lembah Klang dari sudut penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan vaksinasi harian.
“Kami cadangkan supaya pendekatan berfokus perlu dilakukan di situ dengan menambah jumlah vaksinasi harian di Selangor dari 100,000 sehari ke sekurang-kurangnya 250,000 dos sehari.
“Sekiranya ini dapat dicapai, tahap 80 peratus vaksinasi keseluruhan di Selangor dapat dicapai dalam dua minggu dan seterusnya mengurangkan kes harian negara secara tidak langsung,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah beliau, fasa pemberian vaksin dibawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) perlu anjal dan perlu diubahsuai mengikut kadar infeksi di sesebuah negeri.
Begitu juga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang perlu dipercepatkan khususnya di negeri-negeri seperti Selangor.
Katanya lagi, segala sumber sama ada personel atau aset perlu digunakan untuk tujuan tersebut.
Beliau yakin, dengan pelaksanaan langkah-langkah yang dicadangkan itu dijangka dapat mengembalikan PPN ke fasa kedua di penghujung Julai dengan jumlah kes kurang 4,000 sebulan.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan central command melibatkan semua aset guna tenaga dari hospital-hospital kerajaan.
Ia termasuk hospital milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan bagi menangani lambakan pesakit Covid-19 secara serentak.
Dengan kaedah mewujudkan central command, ia diyakini dapat menjaga kebajikan sukarelawan yang bertugas di pelbagai peringkat.
“Ini melibatkan juga sukarelawan yang bertugas di pelbagai peringkat. Tiada tadbir urus yang berpusat yang menjaga kebajikan mereka.
“Malah kebanyakan mereka tidak mendapat apa-apa bayaran mahupun vaksinasi terlebih dahulu.
“Semalam (12 Julai) kita diberitakan dengan seramai 204 petugas di PPV (Pusat Pemberian Vaksin) Shah Alam dijangkiti Covid-19. Ini memberi impak negatif kepada kerajaan,” katanya.
Justeru itu, PAS mencadangkan agar kerajaan sekurang-kurangnya memperuntukkan elaun makan kepada kepada sukarelawan-sukarelawan yang membantu menjayakan PICK selain turut mencadangkan mereka menerima vaksin terlebih dahulu.
Selain itu, PAS turut menyarankan kerajaan menggunakan teknologi virtual terkini di dalam kuarantin kendiri bagi pesakit Covid-19 Category (CAT) 1 dan CAT 2.
Hal ini kerana, beliau berpendapat bahawa penggunaan gelang untuk kuarantin kelihatan agak primitif.
“Penggunaan MySejahtera perlu diperluaskan dengan merubah status secara automatik apabila disahkan oleh makmal.
“Pergerakan pesakit diawasi dengan GPS (global positioning system) melalui aplikasi mudah alih yang wajib diaktifkan.
“Arahan perlepasan kuarantin juga tidak lagi memerlukan pegawai perubatan. Cukup dengan MySejahtera,” ujarnya.
Cadangan itu dikemukakan kepada kerajaan melalui perbincangan di antara Kementerian Kewangan dan wakil PAS di Putrajaya, semalam.
Di samping itu, PAS turut mencadangkan Pulau Langkawi dipilih sebagai projek pilot untuk travel bubble melihat kepada kesesuaian kedudukannya.
“Kedudukannya yang berhampiran dengan Selatan Thailand yang sudahpun membuka aktiviti pelancongannya boleh mendapat manfaat limpahan pelancong ke Langkawi.
“Keseluruhan 70,000 penduduk di Langkawi perlu divaksinasi dan kemasukan pelancong perlu mengikut SOP (prosedur operasi standard) antarabangsa yang telah digunakan oleh negara-negara maju yang lain.
“Penggunaan ujian saringan menggunakan air liur dengan penghasilan keputusan yang pantas boleh digunakan sebagai syarat masuk dan keluar dari Pulau Langkawi,” katanya.
Semalam, kes positif Covid-19 di negara ini telah merekodkan 11,079 kes baharu dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 96,236 kes. – HARAKAHDAILY 14/7/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!