Terbelakah nasib Bella?

- Advertisement -

SAYA mempunyai seorang anak Down Syndrome (DS). Dia sekarang berumur lapan tahun. Pada mula kelahirannya, saya sebagai manusia biasa, merasa amat terkejut dengan ujian Allah ini. Saya merahsiakan dahulu daripada isteri saya yang baharu sahaja selesai bertarung nyawa melahirkan bayi itu. Doktor menunjukkan tanda-tanda nyata DS pada anak saya.

Hati terus menolak akan kenyataan yang sudah jelas di hadapan mata itu. Apa nasib dia? Dia akan mempunyai berbagai penyakit sama ada kritikal atau tidak. Dia tidak akan boleh belajar seperti biasa. Dia tidak akan mempunyai keluarganya sendiri. Siapa yang akan mempedulikan nasibnya jika kami ibu bapanya meninggal. Kesukaran baginya menguruskan diri. Soalan-soalan itu menerjah ke dalam fikiran.

- Advertisement -

Akhirnya, masa untuk memberitahu keadaan sebenar kepada isteri saya yang amat gembira dengan kelahiran bayi itu, tiba jua. Saya membawa dia sendiri ke tingkat atas, ke wad bayi bagi diperlihatkan kepadanya akan bayi itu kerana doktor hanya memberitahu berita itu kepada saya. Setelah diterangkan semua tanda-tandanya, wajah isteri saya berubah, tetapi dia tidak mengeluh.

Tidak berapa lama kemudian, Allah menghantar bantuanNya kepada kami melalui ahli keluarga, saudara mara, kawan-kawan dan juga kakitangan hospital yang menyebabkan kami semakin hari semakin yakin dengan anugerah Allah ini. Kami carikan sekolah baginya, dia mendapat hak yang sama sebagaimana abang dan kakaknya. Semuanya kami berikan, malahan ada ketikanya lebih daripada mereka.

Dia masih tidak pandai bertutur, dia mempunyai masalah jantung berlubang tetapi alhamdulillah melalui pemeriksaan doktor, lubang itu sekarang, sudah tertutup. Syukur juga dia bukan ‘hyperactive’. Senang dijaga. Saya selalu berpesan kepada abang dan kakaknya, akan tanggungjawab menjaga anak istimewa ini. Ini adalah ujian Allah kepada kita.

Jika saya dan isteri pergi dahulu, maka mereka wajib menjaga adiknya ini. Siapa yang berkhianat kepada dia yang tidak tahu apa-apa ini, maka Allah akan pasti membalasnya. Mesti dimaklumkan keberadaan dia dalam keluarga supaya kita tidak rasa malu dia sebagai ahli keluarga kita. Mesti mengalah dan mengajar yang baik kepadanya. Semoga Allah lindungi kami dari berbuat tidak betul kepada dia.

Sejak seminggu lalu, adakah anda membaca atau mendengar kisah Bella, seorang kanak-kanak DS yang dikatakan didera dengan begitu teruk? Saya tidak mahu apa yang terjadi kepada Bella, berlaku ke atas anak saya dan anda, jika benar penderaan terjadi ke atas Bella. Harus diingat, penderaan tidak hanya kepada OKU sahaja, ia juga sudah terjadi kepada yang normal.

Bella adalah manusia biasa, hamba Allah. Bella adalah insan yang perlukan perhatian, tidak minta dilahirkan begitu. Bella tiada tempat berlindung, dia wajib dilindungi. Saya boleh memahami jika keadaan Bella ‘hyperactive’ mungkin akan ada sedikit kesukaran menjaganya. Tetapi ia bukan hak untuk dia diperlakukan begitu, jika benar dera berlaku.

Apapun status Bella, dia tidak boleh diperlakukan demikian. Tiada juga diizinkan sesiapa memperlakukan insan yang lemah sebegitu. Saya tidak mahu menuding jari, sehingga dibuktikan bersalah, walaupun amat sakit hati ini dan sedih melihat keadaannya. Tetapi, seseorang wajib dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku. Pun begitu, saya secara adil, tidak mahu menuduh sesiapa, biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka.

Hakikatnya, Bella telah mengalami malang ini. Nasib Bella masih belum dibela dan kisah sebenarnya masih misteri. Saya mohon kepada anda semua untuk membantu Bella dengan memberi tanda #justiceforbella kerana anda tidak perlu menjadi sesiapa, hanya menjadi seorang manusia bagi membantu Bella. Saya ‘mengenali’ Bella melalui anak saya. Dan anda ‘mengenali’nya melalui naluri sebagai seorang insan. Dunia mesti tahu, apa yang sebenarnya terjadi kepada Bella.

#justiceforbella

MOHD NASIR ABDULLAH
13 Julai 2021 – HARAKAHDAILY 13/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1295779460/posts/10225089959018213/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -