Tangani pengangguran jadi keutamaan kerajaan

- Advertisement -

KERAJAAN sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengekang peningkatan isu pengangguran dalam pelbagai sektor ekoran penularan pandemik COVID-19. Melihat kepada pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), ia menggambarkan komitmen kerajaan dalam mengurangkan pengangguran dan mewujudkan pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.

Merujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negara merekodkan penurunan kadar pengangguran kepada 4.5 peratus pada Mei 2021 berbanding 4.6 peratus pada April 2021. Selain itu, kerajaan juga telah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan, penawaran latihan dan peningkatan pendapatan pekerja yang bertujuan untuk membina sinar harapan baharu kepada rakyat di kala negara sedang bergelut dengan pandemik.

- Advertisement -

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan adalah:

a. Mewujudkan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan pemain industri di bawah Majlis Pekerjaan Negara (NEC). Dalam tempoh enam bulan pertama 2021, lebih 243 ribu peluang pekerjaan telah diwujudkan dan tidak mustahil sebanyak 500,00 peluang pekerjaan baharu akan diadakan sehingga tahun ini. 
b. Menyediakan insentif kewangan kepada majikan bagi menyediakan peluang pekerjaan baharu melalui program PenjanaKerjaya oleh PERKESO. Dalam tempoh enam bulan pertama 2021, sebanyak RM170 juta telah disalurkan dan lebih daripada 10,600 majikan serta 75,800 pekerja telah mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut.
c. Meneruskan inisiatif Program Subsidi Upah 4.0 (PSU) dengan peruntukan sebanyak 3.8 bilion ringgit yang memberi manfaat kepada lebih 2.5 juta pekerja.
d. Pengambilan khas guru secara one-off yang melibatkan 18,702 pegawai pendidikan Gred DG41 telah ditawarkan oleh kerajaan.
e. Pelaksanaan program MySTEP (Short-term Employment Programme) iaitu program yang menyediakan latihan dan penempatan jangka masa pendek di sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan strategiknya telah dibuka kepada yang berumur 18 tahun ke atas. 

Tuntasnya, terdapat banyak langkah yang proaktif dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan peratusan kadar pengangguran dapat dikurangkan walaupun negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19. Pengangguran bukan sahaja memberi impak yang besar kepada masalah sosial bahkan ekonomi negara juga turut terjejas. 

Tambahan lagi, demi memastikan ‘delivery system’ yang efektif, kerajaan juga wajar menambahbaik platformpemantauan bagi memastikan usaha yang dilakukan berjaya mencapai sasarannya. 

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 13/7/2021

- Advertisement -