Pelancongan: LADA sasar hasil lebih RM288 juta

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan pendapatan sektor pelancongan bagi pulau itu mencecah lebih RM288 juta, untuk tempoh September hingga Disember tahun ini, menerusi pelaksanaan Pelan Pemulihan Pelancongan (PPP) Langkawi 2021-2022.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata menerusi pelan itu juga, pulau pelancongan tersebut dijangka menerima seramai 590,000 pelancong dalam tempoh berkenaan.

“Pada 2022, LADA menganggarkan Langkawi akan menjana pendapatan sebanyak RM1.17 bilion dan menerima hingga 2.5 juta pelancong,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah LADA secara dalam talian di sini hari ini.

- Advertisement -

Beliau yang juga Pengerusi Bersama LADA berkata matlamat utama pelan itu adalah untuk memulihkan ekonomi Langkawi dan mengembalikan kepercayaan serta keyakinan pelancong untuk berkunjung ke pulau berkenaan.

Katanya pelan jangka pendek itu juga diharap dapat membantu mengembalikan kesejahteraan dan sumber pendapatan kepada komuniti Langkawi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lepas.

Muhammad Sanusi berkata bagi menarik kehadiran pelancong, Langkawi perlu ditonjolkan sebagai destinasi percutian selamat yang menyeronokkan, justeru pemegang taruh digalakkan untuk menawarkan pakej menarik seperti ‘Langkawi Great Sale’ di beberapa lokasi strategik.

“Langkawi juga perlu menganjurkan acara berimpak besar seperti acara sukan, persembahan pentas dan kebudayaan, kejohanan e-sukan seperti Ironman, konsert, pertandingan PUBG dan festival makanan.

“Penganjuran acara seumpama ini mampu menjadi pemangkin utama kepada pemulihan pelancongan Langkawi dan acara yang akan dilaksanakan kelak mestilah mematuhi norma baharu,” katanya.

Beliau berkata bagi merealisasikan pelan berkenaan, beberapa strategi menerusi PPP perlu dilaksanakan seperti mengekalkan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) agar Langkawi menjadi pulau bebas Covid-19.

“Pada masa ini kerajaan negeri sedang berusaha mencapai sasaran imuniti kelompok dengan menyokong tindakan kerajaan bagi memvaksinkan seramai 76,400 (daripada lebih 100,000) penduduk Langkawi,” katanya.

Menurutnya semua inisiatif yang dilaksanakan oleh LADA itu selari dengan usaha-usaha yang dirancang oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi membantu masyarakat setempat menghadapi fasa pemulihan, seterusnya memacu semula pembangunan ekonomi di Langkawi. – BERNAMA

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -