PASTI Perlis lancar Dana Prihatin bantu guru

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
PASTI Perlis mulai hari ini melancarkan Dana Prihatin PASTI bagi membantu meringankan beban guru yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelancaran dana dibuat selepas hampir dua tahun penularan virus Covid-19 melanda seluruh dunia sehingga mengakibatkan aktiviti rutin penduduk terjejas.

Begitu juga kesukaran yang dihadapi 160 guru PASTI di Perlis, tambahan pula menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha minggu hadapan.

- Advertisement -

Pengarah PASTI Perlis Asrul Aimran Abd Jalil berkata, kesan ekonomi daripada ancaman Covid-19 menyebabkan pengurangan kutipan yuran setelah sekolah tidak dibenarkan beroperasi secara bersemuka.

Selain itu sebilangan ibu bapa dan penjaga murid tidak mampu membayar yuran bulanan.

“Operasi PASTI terjejas kerana terpaksa menangung beban kos operasi yang tinggi termasuk elaun kakitangan, sewa bangunan, utiliti dan lain-lain.

“Sebahagian ibu bapa dan penjaga pula mengalami masalah kewangan dan tidak mampu membayar yuran menyebabkan hutang yuran semakin bertambah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Oleh itu Asrul Aimran berkata, PASTI Perlis melancarkan Dana Prihatin bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung mereka termasuk sumbangan barang keperluan dapur.

Menurut beliau pihaknya juga memberi bantuan kewangan kepada guru-guru bagi menambah data internet sebagai persediaan menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Oleh itu orang ramai boleh menyumbang dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bernombor 09010010050299 atas nama Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (PASTI).

Bukti sumbangan hendaklah dihantar melalui e-mel di alamat [email protected] atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 013 876 6463 untuk tujuan rekod. – HARAKAHDAILY 12/7/2021

- Advertisement -