Mencari aktor di sebalik episod drama gagal

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

APABILA
ada pihak hanya meletak premis kesalahan di bahu kerajaan, tanpa menampil cadangan konkrit tentunya ia tidak adil. Lazimnya apabila ada pihak menyifatkan kerajaan gagal tangani pandemik, tentunya mereka ada jalan keluar.

Setidak-tidaknya contohi langkah seperti dibuat di Selangor. Negeri itu memperuntukkan sebanyak RM400 juta tahun lepas bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Selangor juga wujud pasukan khas atau Task Force Covid-19 Mac 2020. Task Force terbabit di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dilulus serta merta.

Pasukan khas itu dipengerusikan bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. Turut dibantu anggota Exco kerajaan negeri Dr Siti Mariah Mahmud.

- Advertisement -

Maknanya ada perancangan dan tindakan. Soal keberkesanan jawatankuasa itu isu kedua. Rakyat boleh menilai sendiri. Negeri mana yang banyak kes harian Covid-19 sekarang semua orang tahu.

Pada Ahad lepas Selangor mencatat 4,682 kes. Mungkin ramai yang bertanya dana RM400 juta ke mana dihabiskan. Alasan kerajaan, kes positif tinggi kerana ujian saringan dilakukan meluas.

Lokasi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semua penduduk perlu diswab. Kaedah serupa juga berlaku di negeri-negeri lain. Semua penduduk di kawasan PKPD perlu disaring.

Namun mengapa Selangor masih menular wabak. Sebelum ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menyifatkan program vaksinasi di Selangor perlahan.

Anggota Exco kerajaan Selangor menafikan dakwaan itu. Sebaliknya beliau menyifatkan penghantaran vaksin Covid-19 ke Selangor perlahan. Betulkah begitu.

Cuba tanya menteri berkenaan. Lalu Khairy menjelaskan Selangor menerima lebih 1.36 juta dos vaksin iaitu Sinovac dan AstraZeneca sehingga 27 Jun lepas.

Walhasilnya mulai kelihatan di mana silapnya. Malah Selangor juga dikatakan mengenakan bayaran RM350 bagi dua dos vaksin untuk pekerja industri. Kos itu perlu ditanggung majikan.

Kadar terbabit jauh berbeza dengan caj ditawarkan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) hanya RM45 bagi seorang pekerja.

Pengerusi Umno Selangor Noh Omar dan Adun Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha menyifatkan kerajaan Selangor mahu mengaut keuntungan berganda.

“Kerajaan Selangor cuba mengaut keuntungan dengan menjual vaksin kepada pihak industri,” kata Noh.

Haniza pula bimbang usaha untuk mencapai komuniti berkelompok akan terbantut sekiranya kerajaan negeri mengenakan caj lapan kali ganda berbanding dengan PIKAS.

Pemulih muncul tepat

Biarpun Selangor ada perancangan, namun pelaksanaan dilihat bermasalah. Namun setidak-tidak sudah ada usaha, bukan sekadar terus mengangkat bendera mendakwa kerajaan pusat gagal.

Berbeza pula apabila ada pemimpin seronok menyenaraikan apa yang disifatkan kerajaan gagal. Namun cadangan balas tidak dikemukakan. Tentunya agak malang untuk mendapat laba politik.

Begitu juga dakwaan kerajaan gagal menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan. Ada baiknya kita soroti apa kata pakar.

Pakar ekonomi Dr Barjoyai Bardai sedia berterus terang. Katanya banyak tindakan kerajaan dilihat berfokus dalam menangani Covid-19 yang menjejaskan hidup rakyat.

Katanya sejak tahun lepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan lapan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi.

Malah Presiden Persekutuan Perniagaan Malaysia Abdul Malik Abdullah juga mengakui pakej Pemulih yang diumumkan kerajaan baru-baru ini sebagai bantuan yang menyeluruh.

Kata beliau bantuan itu memberi sokongan ketika daya saing dan aliran tunai dalam komuniti perniagaan serta industri berada pada tahap rendah.

Suara serupa diluahkan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia. Presidennya Ter Leong Yap juga menyifatkan pakej Pemulih muncul tepat pada masanya.

“Pakej Pemulih memberi kelegaan yang sangat diperlukan serta bantuan kewangan untuk mengurangkan beban isi rumah, individu dan perniagaan,” ujarnya kepada media.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia juga yakin negara mampu mencapai 500,000 peluang pekerjaan baru tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya Shamsuddin Bardan dilapor berkata, di bawah inisiatif Majlis Pekerjaan Negara pada setengah pertama 2021, lebih 240,000 pekerjaan baru diwujudkan.

Isunya sekarang siapa sebenarnya yang gagal, kerajaan atau pihak mana. – HARAKAHDAILY 12/7/2021

- Advertisement -