AYYASH: Abi, Ayyash nak beli buku ini boleh tak? Berapa ringgit?
Abi: RM30, nak ke? itu bukan komik tau.
Ayyash: Aah, naklah satu, Ayyash bayar ya.
Abi: Okey, nanti baca ya, apa-apa tanya je Abi.
Respon positif
Tidak meremehkan hasrat anak kecil adalah satu sikap yang penting buat ayah. Kita boleh pelajarinya melalui interaksi Nabi Yusuf dan Nabi Yaaqub A.S.
Ketika Nabi Yusuf bermimpi suatu yang pelik, lalu dikhabarkan kepada ayahnya, respon Baginda merupakan suatu yang penting untuk dihayati.
“(Bapanya berkata: ) ” Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu.””
(Yusuf: 5)
Mengakrab hubungan
Nabi Yaaqub memberi respon yang mengikat jiwa Nabi Yusuf supaya semakin akrab dengan si ayah. Sekali gus menguatkan jiwanya sendiri kerana merasa dihargai.
Para Nabi mendidik kita supaya menjadi ayah yang disayangi lalu nasihatnya diikuti berbanding ayah yang digeruni lalu cakapnya hanya didengari ketika merasa diancam sahaja. Sememangnya bukan suatu yang mudah.
Berdaya saing
Penghargaan seorang ayah kepada anak boleh diibaratkan seumpama suntikan vaksin yang meningkatkan daya fikir dan juangnya untuk lebih berdaya saing. (ikutlah nak umpamakan apa pun).
Dari sini barulah ayah akan dapat mencungkil potensi dan bakat si anak lalu mendorongnya untuk mencapai dan mengembangkan potensi tersebut. Begitulah yang disebutkan oleh Imam Ibnul Qayyim tentang perihal figura seorang ayah supaya mengambil berat perihal didikan agamanya, kemandirian dan perkembangan potensi mereka.
USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 12/7/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/1222987424/posts/10225978400506269/