Berlumba jadi sapi

- Advertisement -

RAMAI yang tak perasan bahawa usaha kerajaan hari ini untuk hidup bersama COVID-19 adalah melalui vaksin. Apa yang menjadi perhatian adalah angka jangkitan COVID-19. Memang benar ia sesuatu yang menakutkan dan mengecewakan kita.

Beberapa perkara perlu menjadi perhatian rakyat Malaysia. Hakikat pertama yang kita kena terima dan hadapi ialah COVID-19 akan menjadi sebahagian dari kita. Ia telah lama diperingatkan oleh Ketua Pengarah KKM dan Menteri berkaitan. 

- Advertisement -

Dari awal kita sudah diingatkan bahawa kita perlu hidup dengan ‘Norma baru’ dan ‘Kita Jaga Kita’. Ia adalah satu hakikat yang diminta kita terima. Maka satu tindakan ke arah itu perlu dibuat. Kita tidak boleh lari dari realiti yang sedang dan bakal terjadi. Kita kena merancang bagaimana menghadapi.

Mencari salah itu mudah. Sebagaimana Kerajaan Selangor menyalahkan MITI kerana benarkan kilang beroperasi sedangkan kuasa PBT menutup dan mengawal kilang adalah lebih besar. Seperti Kerajaan Pusat membenarkan jualan arak namun jika PBT tidak benarkan arak dijual di kawasannya, maka ia tidak boleh dijual.

Berbalik kepada perancangan kerajaan untuk hidup bersama COVID-19 tertumpu kepada program vaksinasi. Program dan sasaran ini telah diumumkan. Sasaran 80 peratus penduduk negara divaksin sedang berjalan dan berada di atas landasan yang betul. Ia pastinya mengambil masa. Namun tindakan yang berlaku terlaksana lebih cepat dari yang dijangka.

Peningkatan dalam tempoh yang berlaku sekarang dijangka mengalami penurunan apabila PKPD berakhir dan vaksinasi mencapai sasaran. Kalangan mereka yang mengharapkan keuntungan politik sedang mengejar untuk mendahului perubahan politik sebelum usaha berterusan menghadapi COVID-19 tercapai. Dengan mudah mereka akan mendakwa kejayaan melawan COVID-19 adalah usaha dan kejayaan mereka. Mereka sedang berlumba menjadi sapi merebut susu lembu.

Rakyat cuma perlu bersabar. Bersabar dalam melaksanakan norma baru dan kita jaga kita. Ibarat bahtera sedang melalui ribut besar. Nakhoda dan krew kapal sedang menghala keluar dari gelora. Kekadang ia terganggu kerana anak kapal yang hilang sabar dan ingin menjadi nakhoda kerana tahu jalan keluar semakin hampir. Penumpang diapikan kemarahan agar dia boleh menjadi nakhoda. Sebelum reda, ribut besar adalah petandanya… Bersabar… ‘Sampai bila..? Dah tak larat nak bersabar…’ Memang benar bersabar itu sukar namun ganjarannya besar.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 12/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000122032873/posts/6507302672617069/

- Advertisement -