Patuh SOP ibadah korban bendung penularan wabak

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memberi kebenaran kepada pihak masjid bandar, jajahan dan mukim untuk menambah tempat sembelihan ibadat korban di lokasi yang sesuai.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pihak masjid boleh mengadakan tempat sembelihan dalam kawasan berpagar dan mempunyai keluasan mencukupi (sekurang-kurangnya 10 meter persegi).

- Advertisement -

Selain itu tapak penyembelihan yang sesuai, bersih dan selamat serta tidak berhampiran saliran awam.

Katanya jumlah maksima sembelihan korban hendaklah tidak melebihi lima ekor sehari (20 ekor) lembu dalam tempoh empat hari.

“Kawasan yang dicadangkan tersebut dikawal selia pihak masjid berdasarkan SOP Pelaksanaan Ibadah Korban dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) di Kelantan tahun ini,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini MAIK memaklumkan sembelihan hanya boleh dilakukan di rumah sembelih ruminan Jabatan Veterinar (Kompleks Abatoir DVS) di Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas.

Selain itu di kawasan masjid dengan syarat mendapat kelulusan MAIK. Manakala aktiviti korban persendirian atau keluarga tidak dibenarkan.

Tengku Mohamad Rizam juga berkata, penambaikan itu dibuat ekoran terdapat masjid yang tidak memenuhi kriteria ditetapkan dalam SOP Pelaksanaan Ibadah Korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) di Kelantan.

Kata beliau ada masjid tidak mempunyai kawasan berpagar serta keluasan kawasan yang kurang daripada 10 meter persegi.

“MAIK juga mendapat permohonan sembelihan korban melebihi 20 ekor dalam tempoh empat hari,” ujarnya.

Oleh itu katanya penganjur hendaklah mendapat kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia.

Beliau berkata, kepatuhan semua pihak terlibat dalam pelaksanaan ibadah korban insya-Allah akan dapat mengurangkan risiko dan membendung penularan wabak Covid-19.

“Adalah diharapkan dengan pelaksanaan dan pematuhan garis panduan ibadah korban ini akan dapat membantu usaha memutuskan rangkaian wabak Covid-19,” katanya yang juga Tengku Temenggong Kelantan.

Malam tadi Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman mengumumkan umat Islam di Malaysia akan meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini (Selasa). – HARAKAHDAILY 11/7/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!