Sebuah lagi jadi hospital rawat Covid-19 di Selangor

- Advertisement -

BANGI: Sebuah lagi hospital di Selangor akan dijadikan hospital merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya sebagai strategi mendepani kemasukan pesakit Covid-19 yang tinggi, kata Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Buat masa ini, terdapat dua hospital merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya di Selangor iaitu Hospital Ampang dan Hospital Sungai Buloh. 

- Advertisement -

“Hospital itu akan kita umumkan apabila tiba masanya. Buat masa ini persiapan sedang dijalankan bagi memastikan hospital itu bersedia menerima pesakit Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari untuk Program Khidmat Masyarakat Vaksinasi Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Pangsapuri Sri Ayu di sini hari ini.

Dr Sha’ari berkata kemudahan kesihatan awam di Selangor juga telah ditambah lebih banyak katil dan lebih banyak wad dibuka.

Hospital Serdang umpamanya sudah ada pertambahan 100 katil manakala di Hospital Ampang pula kira-kira 50 katil tambahan yang disediakan boleh digunakan dengan segera, katanya.

Beliau berkata Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM) di Sungai Buloh sedang dalam perancangan untuk diaktifkan semula sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) yang boleh menempatkan 1,200 pesakit dalam satu-satu masa.

Mengenai kesesakan pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Dr Sha’ari berkata beberapa inisiatif telah diambil bagi mengatasi masalah berkenaan antaranya menjadikan pusat rawatan harian hospital itu sebagai tempat merawat pesakit Covid-19.

“Buat masa ini, pusat rawatan harian di HTAR tidak akan menerima pesakit bukan Covid-19 untuk tempoh tertentu. Pada minggu hadapan, akan ada tambahan 150 katil di HTAR, jadi saya yakin HTAR masih mampu menampung sekiranya ada pertambahan kes baharu Covid-19,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -