Pemimpin politik bantu kerajaan kekal kestabilan

Muhammad Ismi Mat Talib
- Advertisement -

PARIT: Perpecahan dan perbalahan antara sesetengah ahli politik tidak seharusnya berlaku di saat negara kita masih dalam keadaan getir memerangi pandemik Covid-19.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, semua pemimpin politik sama ada pembangkang atau kerajaan perlu mengekalkan kestabilan politik di Malaysia.

- Advertisement -

Katanya suasana kegetiran itu dapat dilihat apabila kerajaan bermurah hati melulus pemberian moratorium bagi membantu peminjam dengan institusi kewangan ketika berhadapan dengan situasi getir sekarang.

“Bank dan institusi kewangan terpaksa memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman sebanyak dua kali dalam tempoh tidak sampai setahun. Ini jelas merupakan isyarat bahawa kedudukan ekonomi rakyat dan negara berada pada keadaan agak gawat,” ujarnya di sini.

Bagaimanapun kata beliau tindakan oleh sesetengah pemimpin politik sebenarnya hanya akan menambahkan derita dan sengsara rakyat akibat ketidakstabilan politik dalam negara.

Muhammad Ismi yang juga Yang Dipertua PAS Parit berharap semua pemimpin politik menamatkan segera perbalahan perebutan kuasa dan benar-benar menjalankan peranan sebagai seorang pemimpin berkhidmat membantu rakyat.

“Keyakinan rakyat terhadap kewibawaan pemimpin politik sudah semakin pudar, inilah masanya untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.

“Sebarang tindakan yang merugikan bakal menghilangkan keyakinan rakyat kepada pemimpin politik. Guna ruang yang ada sekarang untuk mendekati rakyat dan bukannya menyumbang kepada ketidakstabilan politik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/7/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!