Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
KUALA TERENGGANU: Terengganu membenarkan solat Jumaat, solat fardhu, solat jenazah dan solat sunat Hari Raya Aidiladha di bawah Fasa II Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Osman Muda berkata, arahan kebenaran itu setelah mendapat pandangan dari Sahibus Samahah Dato’ Mufti Negeri Terengganu dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu.
Namun, katanya solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha di masjid dan surau dibenarkan mengikut keluasan masjid dan surau dengan memenuhi ‘Prosedur Operasi Standard’ (SOP).
Menurutnya, kebenaran jemaah ke masjid dan surau hanya kepada ahli qariah yang bermastautin dan wargenagara sahaja kecuali mana-mana orang yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.
“Kebenaran jemaah bagi menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid dan surau dibenarkan kepada jemaah lelaki sahaja.
“Imam-imam masjid dikehendaki membaca qunut nazilah ketika melaksanakan solat Jumaat.
“Semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin setiap malam selepas solat Maghrib secara berjemaah,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada media di sini, 8 Julai lalu.
Katanya, aktiviti lain di masjid dan surau tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM).
Sementara itu, kata Dato’ Osman, pelaksanaan ibadah Korban dan Akikah dibenarkan dengan jumlah korban dihadkan kepada lima ekor haiwan sehari di sesuatu kawasan kecuali di rumah penyembelihan yang dibenarkan.
“Ibadah Korban dan Akikah boleh dilakukan sama ada di Rumah Penyembelihan (Abbattoir) Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS) Negeri Terengganu dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS), perkarangan masjid dan surau di kawasan lapang seperti padang dengan kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
“Jumlah petugas hendaklah tidak melebihi 10 orang dan hendaklah berada dalam keadaan sihat.
“Mana-mana masjid dan surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 323) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan,” tegasnya.
Beliau menjelaskan, Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin telah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap perkembangan semasa berkaitan pandemik Covid-19 di negeri ini.
Justeru, kata beliau, baginda menyeru semua pihak termasuk rakyat jelata memberi kerjasama dan komitmen dengan sebaik mungkin dalam mematuhi SOP mengikut arahan pihak berkuasa yang telah ditetapkan. – HARAKAHDAILY 9/7/2021