PM beri sinar baru kepada peneroka Felda

- Advertisement -

KANGAR: Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sambutan Hari Peneroka Felda 2021 pada 7 Julai lalu dianggap memberi sinar baru kepada seluruh warga Felda di negara ini.

Pengerusi Majlis Belia Felda Negeri Perlis, Izan Asmawi Habidan merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia di atas persetujuan untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

“Sebenarnya pengumuman pelupusan hutang sudah dimulai sejak zaman Dato’ Seri Najib Abdul Razak, kemudian bersambung Tun Dr Mahathir Mohamad. Tahun lepas pun, Muhyiddin pernah umum perkara yang sama, dan tahun ini dimuktamadkan perkara tersebut.

- Advertisement -

“Jadi kita rasa bersyukur apabila perkara ini telah diberi persetujuan olek kerajaan sekarang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau menerusi pengumuman itu jelas menunjukkan kerajaan mengambil peduli terhadap nasib peneroka Felda di seluruh negara yang selama ini dibelenggu hutang termasuk projek tanam semula sawit dan getah.

“Hutang seorang peneroka ada yang melebihi RM150,000, tetapi dengan pelupusan hutang ini maka beban yang ditanggung peneroka akan berkurangan.

“Sungguhpun tempoh pelupusan hutang akan selesai dalam masa lebih kurang tiga tahun, generasi muda Felda wajib menyahut seruan kerajaan untuk mengembalikan zaman kegemilangan Felda,” katanya lagi.

Ujarnya, Felda kini menjangkau usia 63 tahun telah banyak membantu orang Melayu untuk mencapai cita-cita memiliki tanah dan kediaman sendiri di samping mempunyai aset kebun sendiri.

Malah katanya, Felda memacu peneroka ke arah kelestarian ekonomi di mana ia menjadi sebuah organisasi terbesar di dunia yang menguruskan ladang sawit.

“Inilah masa yang sesuai untuk generasi muda Felda menyahut seruan kerajaan bagi membangunkan Felda kerana mereka bakal mewarisi kelangsungan institusi tersebut,” katanya yang juga generasi kedua Felda di Chuping, Perlis.

Pelupusan hutang yang disebut perdana menteri dilaksanakan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal yang berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah dijayakan. – HARAKAHDAILY 9/7/2021

- Advertisement -