Individu lengkap dos vaksin dibenar solat Jumaat

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Bermula hari ini individu yang lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 atau paling kurang dos pertama dibolehkan untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu berjemaah di masjid dan surau-surau.

Sungguppun begitu kebenaran hanya tertakluk kepada mukim zon hijau, kuning, jingga dan merah sahaja tetapi tidak melibatkan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD).

- Advertisement -

Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) pada kenyataan memberitahu terdapat beberapa kategori dan syarat yang perlu dipatuhi pihak pengurusan masjid dan surau yang terlibat, antaranya untuk mukim zon hijau, kuning dan jingga, kehadiran jemaah dibenarkan tidak melebihi 100 orang termasuk jawatankuasa masjid.

Manakala  mukim zon merah pula tidak melebihi 50 jemaah dan kawasan yang dikenakan PKPD hanya dibenarkan lima orang  terdiri pegawai dan  jawatankuasa masjid sahaja.

Bagi kawasan PKPD, solat Jumaat ditangguhkan dan diganti solat Zohor di rumah masing-masing.

“Jemaah terpilih perlu mengemukakan sijil suntikan vaksin. Keutamaan kepada yang telah lengkap dua dos namun juga memberi kelonggaran  sekurang-kurangnya dos pertama.

“Penentuan zon perlu mengikut mukim berdasarkan peta harian yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah,” katanya.

Kebenaran itu juga hanya tertakluk kepada ahli kariah yang bermestautin sahaja, manakala penduduk luar kariah tidak dibenarkan sama sekali.

Setiap masjid dan surau juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JHEAIK. Kegagalan bertindak demikian akan dikenakan tindakan dan kebenaran berkenaan akan ditarik serta merta.

“Pejabat Agama Daerah juga boleh menarik semula kelonggaran itu sekiranya terdapat kes Covid-19 dalam kalangan ahli jemaah atau menjadi kontak rapat kepada kes terbabit.

“Pengurusan masjid dan surau juga hendaklah memastikan peredaran udara yang lancar di ruang solat serta membuka pintu dan tingkap ketika aktiviti solat berjemaah dilaksanakan,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu juga ahli kariah yang mengalami demam, selesema dan mengidap sakit kronik tidak dibenarkan hadir ke masjid.

Larangan itu juga melibatkan warga emas 70 tahun ke atas dan kanak-kanak 12 tahun ke bawah.

Sementara prosedur biasa yang diamalkan sebelum ini iaitu membawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan, tidak bersalaman  dan log kehadiran di MySejahtera juga diwajibkan.

“Pihak pengurusan masjid juga perlu memastikan, pintu pagar ditutup selepas azan, menyediakan pencuci tangan (hand-sanitizer), tiada jemaah berkumpul selepas solat dan solat di tempat yang ditetapkan sahaja.

“Manakala untuk khutbah Jumaat tidak melebihi 45 minit, wirid selepas solat fardu  hanya 20 minit sahaja dan iktikaf selepas solat tidak dibenarkan,” tambahnya.

Menurut JHEAIK semua ketetapan itu tertakluk kepada SOP yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 9/7/2021

- Advertisement -