Berbelanja dengan bijak ketika pandemik

- Advertisement -

PANDEMIK COVID-19 telah memberi kesan yang besar kepada ekonomi negara. Terdapat syarikat-syarikat yang tidak dapat beroperasi seperti biasa dan ada yang terpaksa gulung tikar atau memberhentikan pekerja-pekerja untuk terus beroperasi. Ada pula yang terpaksa memotong gaji. Mereka yang berniaga sendiri juga menghadapi masalah apabila permintaan atau pelanggan berkurangan. Sudah tentu ini memberi kesan kepada ekonomi rakyat.

Walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai program bantuan namun tidak ada siapa yang tahu bila keadaan akan pulih seperti sedia kala. Perkara yang sama juga berlaku di seluruh dunia dan bukan sahaja di Malaysia. Justeru itu kita perlu berhati-hati dan merancang perbelanjaan kita. Sentiasa berjimat cermat dan cuba menabung.

- Advertisement -

Di antara langkah-langkah bijak ketika pandemik ini adalah:

1. Membuat perancangan untuk perbelanjaan bulanan jika anda tidak pernah melakukannya. Peruntukkan untuk setiap perbelanjaan yang perlu. Anda perlu mempunyai disiplin untuk mengikuti perancangan atau bajet yang telah ditetapkan.

Bila anda membuat bajet, anda boleh membuat potongan untuk barangan atau perkhidmatan yang tidak mendesak.

2. Bezakan di antara keperluan (need) dan kemahuan (want). Keperluan tidak boleh ditangguh. Makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak, gula, lauk pauk harian, ubat dan lain-lain sepertinya adalah keperluan. Ia tidak boleh ditangguh atau akan memberi kesan buruk kepada keluarga.

Tetapi baju baharu, kasut baharu, fesyen terkini dan barang-barang sepertinya mungkin akan dibeli didorong nafsu dan boleh ditangguhkan. Ia tidak akan memudaratkan anda dan keluarga anda jika ditangguhkan pembelian.

Hari ini kita boleh membeli-belah di rumah secara di atas talian. Sekiranya anda tidak dapat melawan nafsu, jangan layari laman web atau aplikasi membeli-belah tersebut.

Pakaian, kasut, selipar dan beg tangan lama masih boleh dipakai jika dibaikpulih atau diperbaiki dan tidak perlu dibuang begitu sahaja.

3. Jangan menangguh sebarang pembayaran komitmen bulanan anda kecuali telah diberikan kelonggaran seperti moratorium. Sekiranya anda memiliki wang yang mencukupi selesaikan semua bil. Sekiranya anda menangguhkan bayaran, anda tetap akan membayarnya di bulan selanjutnya.

Sudah tentu ia akan mengganggu perbelanjaan anda di bulan tersebut. Mungkin anda menangguh pembayaran dengan hasrat untuk menabung tetapi kadang-kala duit tersebut telah dibelanjakan secara tidak sengaja untuk perkara-perkara yang tidak diperlukan.

4. Beli atau sediakan makanan menurut keperluan. Satu kajian menunjukkan rakyat Malaysia menghasilkan sisa makanan yang sebanyak 16,650 tan sehari. Satu keluarga dengan 4 orang ahli membuang hampir 400 kg sisa makanan setahun. 

Anda boleh menjimatkan perbelanjaan anda jika anda dapat mengelakkan sebarang pembaziran. Selain dari itu, ia satu tindakan yang mesra kepada alam sekitar kerana telah mengurangkan sisa.

Masak sendiri jika boleh. Tepung, garam dan air yang dijadikan jemput-jemput atau lempeng boleh menjadi sarapan yang mengenyangkan. Terdapat banyak hidangan yang dapat disediakan dengan cepat dan mudah. Tetapi jika anda mampu, sekali-sekala belilah dari peniaga-peniaga sebagai sokongan kepada mereka yang cukup terkesan dengan pandemik ini.

5. Anda perlu kreatif dengan makanan yang berlebihan. Baki makanan yang tidak habis dimakan tidak perlu dibuang jika masih tidak rosak. Contohnya nasi yang lebih boleh dijadikan apam beras jika ditambah tepung beras dan tepung gandum. Roti yang telah keras tidak perlu dibuang tetapi boleh dijadikan puding roti. Biskut-biskut yang pecah juga tidak perlu dibuang tetapi terdapat pelbagai resepi untuk menjadikannya kek atau kuih. 

Lauk yang tidak habis boleh juga dikitar semula. Contohnya ayam goreng boleh dijadikan ayam masak kicap. Ikan goreng boleh dijadikan ikan sambal. Kadang kala suami atau anak-anak tidak mahu makan lauk yang sama dua hari berturut-turut. 

6. Menabung setiap bulan walaupun sedikit. Di dalam perancangan bulanan anda, ketepikan sebahagian dari pendapatan anda untuk disimpan. Kita tidak tahu keadaan ekonomi selepas pandemik ini berakhir atau bila ia akan berakhir. 

Sediakan tabung di rumah dan masukkan sebarang duit lebih sebelas berbelanja. Walaupun 10 sen, adalah amat berharga hari ini dan jika dikumpul akan menjadi banyak.

Menurut pakar, kita perlu menabung sekurang-kurangnya 10 peratus dari pendapatan bulanan kita. Kita juga perlu memiliki simpanan untuk perbelanjaan selama 6 bulan. Mungkin mustahil dilaksanakan ketika pandemik tapi ia sesuatu yang perlu disasarkan selepas ini.

7. Bandingkan harga barang-barang apabila berbelanja. Buatlah penilaian di antara harga dan kualiti. Kadang-kala kualiti barangan yang berjenama terkenal tidak jauh beza dari barangan yang tidak terkenal seperti produk-produk Muslim. Sekarang bukan masanya untuk membeli barangan tanpa berfikir. 

Harga barangan juga tidak sama di semua pasaraya atau kedai. Harganya berbeza-beza walaupun untuk barangan yang sama. Tetapi berhati-hati, penjual mempunyai strategi agar mereka tidak menanggung kerugian. Di satu pasaraya, mungkin satu barangan itu begitu murah tetapi terdapat barangan lain yang harganya lebih tinggi.

8. Kadangkala adalah lebih menjimatkan jika anda membeli barangan dalam kuantiti yang lebih banyak. Contohnya membeli sabun pencuci botol besar adalah lebih menjimatkan dari botol kecil. Kuantiti untuk botol besar mungkin 2 kali ganda dari botol kecil tetapi harganya tidak sampai 2 kali ganda.

Terdapat barangan yang dijual di dalam satu pek yang mengandungi beberapa barangan tersebut. Contohnya berus gigi yang dijual di dalam pek 3, 4 atau 5 batang. Kos sebatang adalah lebih murah jika anda membeli dalam satu pek dari membeli hanya sebatang. Cuba kongsi membeli bersama kawan atau jiran untuk menjimatkan kos.

9. Cuba menanam sendiri. Anda tidak memerlukan tanah yang luas. Pasu, tin kosong, baldi lama atau besen lama boleh diisi dengan tanah. Jika tidak boleh menanam sayur-sayuran, tanamlah untuk kegunaan harian seperti daun pandan, daun kari, daun bawang atau ulam-ulam.

Sebagai baja anda boleh menggunakan kulit-kulit buah-buahan atau sisa makanan. Walaupun nampak kecil tetapi ia dapat membantu mengurangkan perbelanjaan.

10. Jimatkan penggunaan elektrik dan air. Terdapat banyak panduan bagaimana mencapainya. Tetapi yang paling mudah adalah menutup lampu, televisyen atau peralatan elektrik lain jika tidak digunakan. Untuk menjimatkan air pula, jangan biarkan paip terbuka tetapi anda boleh mengumpulnya di dalam bekas. Gunakan gelas apabila menggosok gigi atau bekas takungan apabila mandi.

Mungkin hari ini anda tidak terkesan dengan pandemik ini tetapi keadaan hari ini tidak menentu. Lebih baik mengubah cara hidup kita sekarang sebelum keadaan memaksa kita melakukannya.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 9/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4467812679904361/

- Advertisement -