Skuad Cakna Tabung Bencana COVID-19 aktif bantu rakyat

- Advertisement -

REMBAU: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sembilan telah menggerakkan Skuad Cakna COVID-19 (SCC) di mana merekodkan lebih 800 keluarga yang terkesan pandemik telah dibantu sehingga awal Julai di seluruh negeri ini.

SCC yang ditubuhkan PAS Negeri Sembilan di bawah Lajnah Kesihatan dan Khidmat Malaysia telah menerima kerjasama Dewan Pemuda, Dewan Ulamak, Dewan Muslimat serta Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sembilan (LKKPN9). 

- Advertisement -

Melaluinya, Tabung Bencana COVID-19 (TBC) telah dilancarkan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha pada 9 Jun 2021 yang lalu secara atas talian bertujuan mengumpul dana tabung tersebut. 

Pengerusi LKKPN9, Ishak Omar menjadi penggerak utama yang bertungkus-lumus berada di lapangan bagi menyampaikan setiap sumbangan di samping bantuan wakil-wakil serta sukarelawan dari setiap kawasan negeri ini. 

Menurut Ishak, LKKPN9 menyediakan garis panduan bagi mendapatkan bantuan, iaitu pemohon terlebih dahulu perlu mengisi borang khas yang disediakan di mana ia menjadi pangkalan data penyelarasan bantuan ke seluruh negeri. 

“Sekarang dana semakin kritikal. Permohonan yang diterima di seluruh Negeri Sembilan melebihi 100 penerima setiap hari, malahan berpuluh lagi dari luar Negeri Sembilan turut memohon.

“Namun senarai itu akan diserahkan semula ke negeri terlibat melalui jaringan LKKP setiap negeri,” ujar Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar. 

Badzli Bakar yang juga Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Negeri Sembilan berkata, selain daripada bantuan makanan, khidmat kaunseling juga penting bagi mengendalikan mereka yang tertekan emosi akibat suasana pandemik COVID-19. 

Malahan, usaha ini turut disokong oleh badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) terdiri daripada doktor pakar dan kaunselor terlatih. 

Sebarang sumbangan boleh dihulurkan ke akaun BIMB 05030010000462 Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan dengan rujukan Tabung Bencana COVID-19. 

Sebarang pertanyaan boleh hubungi, Ishak (0143964042), Rohayati (0142300950) dan Najmuddin (0132991834 ). – HARAKAHDAILY 6/7/2021

- Advertisement -