Kit Siang liabiliti DAP – Dr Wan Rohila

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang telah terperangkap dengan kiasan yang dibuat oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sekaligus menjadi liabiliti kepada DAP.

- Advertisement -

Menurut Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar, beliau tidak menafikan terdapat kemungkinan Kit Siang telah tersalah erti atau tersalah memahami akidah yang dipegang oleh umat Islam.

Bagaimanapun, beliau menasihati agar Kit Siang, perlu mengawal emosi agar pertelingkahan politik hanya berlangsung di medan politik sahaja, tanpa mencampuri urusan akidah umat Islam.

“Jika dilihat dari sudut kontekstual, ‘Kerajaan Allah’ itu dimaksudkan kekuasaan Allah, Tuhan yang mentadbir alam ini (berdasarkan teks asal ucapan Tuan Guru).

“Ia jauh sekali merujuk kepada mana-mana kerajaan dalam konteks demokrasi moden pada hari ini dan juga tidak merujuk kepada kerajaan BN sebelum 2018, atau Kerajaan PH, juga kerajaan PN sekarang.

“Namun begitu, perang ke atas pandemik Covid-19 ini tidak akan berjaya jika Allah SWT tidak mengizinkannya,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Mengulas lanjut, kejayaan beberapa negara barat yang diterajui oleh pimpinan bukan Islam mengawal penularan Covid-19 seperti New Zealand adalah di atas izin Allah jua.

Malah katanya, dengan pelbagai usaha, strategi dan prosedur operasi standard (SOP) yang dibuat oleh manusia, ia tetap akan berbalik kepada izin Allah SWT juga.

“Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha dan pernah menang dalam perang Covid-19 lalu, umat Islam di Malaysia amat memahami kemenangan ini adalah kerana keizinan Allah SWT.

“Malah kini, negara kita kembali berperang dengan Covid-19 kerana mana mungkin Allah SWT mengangkat wabak ini dari negara kita seandainya usaha, blueprint, komitmen kerajaan, kepatuhan dan rakyat untuk memeranginya masih belum mencukupi,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 6/7/2021

- Advertisement -