Oleh SAIDAH HAIRAN
KUALA LUMPUR: Tindakan kenyataan menghina agama Islam dengan memainkan ungkapan ‘kerajaan Allah’ pasti akan mengundang kemarahan kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menegaskan umat Islam sangat terkesan dengan tindakan kurang ajar Penasihat DAP, Lim Kit Siang menerusi tulisan di blognya.
“Kit Siang jangan cuba mencetuskan sensitiviti agama dan bersikap kurang ajar dengan institusi Raja-Raja Melayu,” tegasnya.
Beliau menegaskan tindakan Kit Siang itu juga disifatkan sebagai menghina institusi Raja-Raja Melayu kerana Raja-raja adalah Ketua Agama Islam di setiap negeri.
“Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mesti dikenakan tindakan di bawah lunas undang-undang terhadap kelakuannya yang biadab,” ujarnya yang juga Adun Sijangkang.
Menurutnya, maksud ‘Kerajaan Allah’ yang ditulis oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah kekuasaan Allah, bukan merujuk kepada mana-mana kerajaan di dunia termasuk di Malaysia. – HARAKAHDAILY 6/7/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!