Kemiskinan, cabaran utama masyarakat

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemiskinan dianggap sebagai cabaran utama yang perlu didepani masyarakat hari ini, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Menurutnya, peningkatan kes bunuh diri menjadi lagi satu bukti bahawa masyarakat semakin tertekan dengan kesempitan ekonomi yang berlaku ketika ini.

Kata Ahmad Fadhli, walaupun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi untuk menyelamatkan nyawa rakyat daripada menjadi korban Covid-19, namun dalam masa sama beliau tidak menolak realiti bahawa ia telah membunuh rakyat daripada pelbagai aspek lain.

“Realiti yang tidak boleh kita tolak ialah lockdown ini telah membunuh rakyat pada aspek lain. Ia telah membunuh emosi rakyat, ia telah membunuh spiritual rakyat, ia telah membunuh keselesaan yang dinikmati rakyat selama ini.

“Tetapi kerajaan tidak mempunyai pilihan lain kecuali melaksanakan lockdown ini, demi memastikan nyawa yang lebih penting untuk dijaga,” ujarnya dalam Webinar Wajah Kemiskinan, anjuran Institut Masa Depan Negara, hari ini.

Jelasnya lagi, pandemik Covid-19 telah menyebabkan masalah yang sangat besar dalam kalangan masyarakat, malah ia dikatakan hampir mewujudkan generasi yang hilang, lost generation.

Dakwaan lost generation itu kata Fadhli berikutan melihat kepada isu pendidikan yang tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

“Isu pendidikan yang tidak dapat dilaksanakan terus, anak-anak yang berada di rumah yang kita tidak tahu pengisian mereka, ibu bapa yang tidak dapat bekerja dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, berkongsi pengalaman menjadi Ahli Parlimen, kata Fadhli, pemerhatiannya mendapati bahawa masyarakat betul-betul terkesan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, setiap hari pihak beliau akan didatangi oleh rakyat secara bertali arus untuk mendapatkan bantuan dan sumbangan.

Hasil penilitiannya, beliau mendapati mereka benar-benar memerlukan bantuan dan layak untuk menerima bakul makanan.

“Setiap hari kita didatangani bertali arus, tidak henti-henti individu dan pihak-pihak yang meminta untuk memberikan sumbangan dan apabila kita cek backgrond mereka, benar. Mereka betul-betul layak menerima bakul makanan.

“Bayangkan saya di Pasir Mas kebanyakan rakyat saya di Pasir Mas ini adalah merupakan terdiri daripada mereka yang menoreh getah, mereka bercucuk tanam.

“Walaupun pertanian dibenarkan sepanjang lockdown ini, tetapi hasilnya tidak dapat untuk dijual.

“Contohnya seperti timun, terung, lada dan sebagainya, orang kurang membeli kerana kuasa membeli semakin berkurangan, begitu juga dengan mereka yang bekerja sebagai tukang rumah dan sebagainya.

“Tidak dapat untuk bekerja, dan akhirnya tiada pendapatan. Kita juga dapat melihat bagaimana prestasi jualan-jualan di kedai-kedai makan, jualan makan di tepi jalan, drop dengan begitu ketara.

“Kesan ini berangkai, ia akan mengakibatkan kuasa membeli semakin turun dan akhirnya, lambat laun sebabkan masalah besar di kalangan masyarakat,” katanya lagi.

Jun lalu, dilaporkan kadar kemiskinan negara meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4% peratus pada tahun 2020 berikutan pandemik Covid-19.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed, impak pandemik Covid-19 kepada ekonomi Malaysia telah menjejaskan pendapatan rakyat.

Ia juga telah menyebabkan lebih banyak isi rumah terdedah kepada kemiskinan, terutamanya dalam kalangan B40 dan golongan rentan. – HARAKAHDAILY 5/7/2021

- Advertisement -