UniMAP tingkat jaringan kerjasama di peringkat global

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited memperluaskan jaringan kerjasama di peringkat global termasuk syarikat yang berpangkalan di Arab Saudi.

Universiti berteraskan kejuruteraan itu menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat di Kota Suci Makkah iaitu Wadi Makkah Knowledge Company (WMKN) semalam.

Advertisement

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad berkata memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak memainkan peranan penting dalam hubungan antara dua budaya.

Katanya UniMAP akan memberikan sokongan dan komitmen penuh terhadap WMKN bagi menggalakkan dan mempromosi kerjasama dalam pertukaran kepakaran, teknologi dan pengetahuan.

Selain itu pembangunan pegawai sama ada profesional atau akademik, program promosi, latihan dan pembangunan staf serta pelajar.

“Dalam kerjasama bidang pendidikan dan latihan, kedua-dua pihak juga dapat melaksanakan projek khidmat masyarakat bagi meningkatkan tanggungjawab sosial korporat dan pembangunan ummah.

“Kerjasama juga bagi memberi latihan untuk memudahkan urusan mengerjakan haji dan umrah selain bertukar kepakaran dalam sistem halal serta meningkatkan kecekapan pengurusan masjid,” kata beliau pada satu kenyataan di sini.

Pada memorandum persefahaman berkenaan UniMAP diwakili Prof Dr Mohd Rizal yang menjalankan fungsi Naib Canselor UniMAP, manakala WMKN diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eng. Ameen Yamany.

Turut hadir dalam majlis yang diadakan secara dalam talian berkenaan Pengerusi Lembaga Pengarah WMKN Dr Adnan Almazrooa, Presiden Kuala Lumpur International Chamber of Commerce (KLICC), Prof Adjung Hashim Saleh.

Hadir sama Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) UniMAP Prof Madya Ku Halim Ku Ariffin, Pengarah Pusat Libatsama Antarabangsa, Prof Madya Dr Tunku Salha Tunku Ahmad serta delegasi ketiga-tiga institusi berkenaan.

Tambah Prof Dr Rizal, menerusi kerjasama tersebut beliau percaya matlamat universiti memberi pendidikan berterusan kepada semua profesional yang bekerja.

“MoU yang ditandatangani bakal memberi platform yang berguna bagi kedua-dua pihak meneroka peluang yang lebih jauh untuk mengembangkan faedah untuk manfaat kedua-dua pihak,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 5/7/2021