SJR sempadan Malaysia-Thailand dikendali PGA

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG:
Tiga Sekatan Jalan Raya (SJR) sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini di bawah selian Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) akan diambil alih Pasukan Gerakan Am (PGA) pada September ini.

SJR tersebut melibatkan Lalang Pepuyu di Tanah Merah, Cabang Empat Salam (Rantau Panjang) dan Neting (Pengkalan Kubor).

- Advertisement -

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, pengambilan alihan tugasan tersebut juga selari dengan langkah kerajaan menyerap masuk keanggotaan AKSEM ke PGA bagi memperkasakan lagi penugusan di sempadan Malaysia-Thailand.

Manakala katanya, seramai 22 anggota yang bertugas akan ditempatkan secara bergilir-gilir mengikut jadual yang ditugaskan.

Mengulas lanjut Hassan Basri berkata, PGA akan terus memperketatkan lagi kawalan di sempadan bagi memastikan keselamatan negara berada pada tahap terbaik.

“Malah PGA akan lebih agresif dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar atau terlibat dengan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya pada sidang media Op Benteng, di Markas Lubok Setol di sini hari ini.

Turut hadir Komander PGA Batalion 7 Kuantan Superintendan Azhari Nusi dan Komander Batalion 8 Pengkalan Chepa Superintendan Mat Shukor Yusuf.

Dalam pada itu Hasan Basri berkata, PGA Batalion 7 berjaya mematahkan cubaan menyeludup 348 kilogram ayam sejuk beku di pangkalan haram Pok Ngoh, Pengkalan Kubor, Tumpat pada jam 11.30 malam semalam.

Katanya, rampasan itu hasil rondaan rutin yang dilakukan PGA menerusi tanggungjawab Op Benteng Covid-19.

Selain ayam sejuk beku pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipercayai digunakan untuk menyeledup bahan mentah. – HARAKAHDAILY 5/7/2021

- Advertisement -