PM pengerusikan mesyuarat Sidang Khas MKN

Foto daripada Facebook Muhyiddin Yassin.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mempengerusikan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui sidang video dari hospital bagi membincangkan perkembangan situasi pandemik Covid-19 di dalam negara.

Ini, katanya termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang berkuatkuasa di mukim-mukim di Selangor dan 14 lokaliti di WP Kuala Lumpur, serta laporan pemantauan setiap negeri di dalam fasa pemulihan negara.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, selain lima buah negeri yang telah pun beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), terdapat beberapa buah negeri lagi yang menunjukkan perkembangan yang amat baik dan berpotensi untuk mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama dalam waktu terdekat.

“Saya berharap situasi pandemik di negara kita dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat dapat divaksin dalam masa terdekat dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak pada bulan ini,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, petang ini.

Beliau juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan badan-badan amal, parti-parti politik, pihak swasta dan orang ramai yang tampil menghulur bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan pada masa ini di samping bantuan-bantuan disampaikan oleh pihak kerajaan.

“Semoga amal jariah anda semua diberikan ganjaran oleh Allah SWT,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 5/7/2021

- Advertisement -