Orang awam jangan buat spekulasi lelaki larikan diri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan orang awam tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular melibatkan tiga individu yang melarikan diri daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Anuar Omar berkata, satu laporan polis dibuat jam 4.51 petang semalam berkaitan video tular melibatkan tiga individu yang dilihat keluar dari kawasan PKPD di sebuah PPR di Jalan Kampung Pasir, Kampung Pasir, Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Katanya, hasil siasatan awal mendapati video tular yang berdurasi selama dua minit empat saat itu memaparkan dua lelaki berbangsa India dan seorang lelaki bangsa tidak pasti telah melarikan diri menerusi pagar berduri jenis dawai besi yang diletakkan di sekeliling blok berkenaan.

Tambahnya, pemeriksaan polis di lokasi kejadian mendapati terdapat dawai besi telah rosak dan dipercayai digunakan oleh tiga individu berkenaan untuk melarikan diri.

Menurutnya, kedua-dua dua lelaki yang dikenal pasti berusia 34 dan 46 tahun itu didapati mempunyai rekod jenayah.

Katanya, lelaki berusia 34 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah di bawah kesalahan dadah berbahaya dan pelbagai kesalahan jenayah antaranya samun, curi dan lain-lain lagi, manakala lelaki berusia 46 tahun pula mempunyai sembilan rekod jenayah bagi kesalahan pecah rumah dan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular melibatkan tiga individu yang melarikan diri ini dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, usaha mengesan individu-individu terlibat sedang giat dijalankan.

Menurutnya lagi, kes itu masih dalam tindakan penyiasatan Polis dan disiasat di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Jelasnya, sebarang perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – HARAKAHDAILY 5/7/2021

- Advertisement -