Kewangan sosial Islam atasi kelembapan ekonomi

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Sumbangan kewangan sosial Islam termasuk sedekah, zakat dan wakaf merupakan antara penyelesaian terbaik di saat negara berhadapan situasi kelembapan ekonomi sekarang.

Sehubungan itu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyaran masyarakat mengutamakan penyaluran sumbangan kewangan sosial Islam bagi menjana pertumbuhan ekonomi tempatan.

- Advertisement -

Titah baginda melalui kaedah itu ekonomi Islam dapat disuburkan.

“Sebagai contoh kecenderungan masyarakat sebelum ini melaksanakan ibadah korban di luar negara sesuai dinilai semula, sekurang-kurangnya buat kali ini ekoran keperluan tempatan juga memerlukan perhatian.

“Majlis Agama Islam Negeri juga dilihat dapat memainkan peranan yang signifikan sebagai pemudah cara pelaksanaan ibadah korban ketika penularan pandemik Covid-19.

“Malah bukan sekadar menentukan dasar seperti SOP pelaksanaannya, namun boleh dikembangkan lagi dalam membantu menyelaras agihan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian ketika berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Alwi Kangar Jumaat lepas.

Solat Jumaat itu buat pertama kali diadakan semula selepas sebulan setengah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0. – HARAKAHDAILY 5/7/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!