Majikan tidak benar BDR kekal aduan tertinggi

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Kes majikan tidak membenarkan pekerja Bekerja Dari Rumah (BDR) kekal sebagai aduan tertinggi yang diterima Kementerian Sumber Manusia menerusi aplikasi ‘Working for Workers’ setakat 1 Julai lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata secara keseluruhan sebanyak 4,267 aduan merangkumi pelbagai kes diterima dan kes tidak membenarkan BDR masih mendahului dengan merekodkan 1,876 aduan di seluruh negara.

- Advertisement -

Beliau berkata daripada keseluruhan 4,267 aduan, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,451 aduan, diikuti Kuala Lumpur (1,007), Johor (539) dan Pulau Pinang (292).

“Selain aduan BDR, 1,013 aduan adalah berkaitan kes gaji tidak dibayar atau lewat diberi, dan 308 aduan pula melibatkan potongan upah dengan tidak mengikut undang-undang.

“Selain itu, 263 kes melibatkan aduan pekerja dibuang tanpa notis, 254 kes tiada bayaran lebih masa dan faedah pemberhentian, 107 kes majikan tidak mematuhi upah minimum, 81 kes tiada kontrak pekerjaan dan 66 kes tiada cuti tahunan,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara di sebuah asrama pekerja kilang di sini hari ini.

Awang berkata untuk rekod sehingga kini 20,371 majikan telah diperiksa, melibatkan 109,809 penginapan pekerja di seluruh negara.

Menurutnya 793 kertas siasatan dibuka terhadap majikan yang melakukan pelbagai kesalahan, dengan 125 daripadanya telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen seluruh negara, dan keseluruhan jumlah denda yang telah dibayar berjumlah RM431,000.

“Sebanyak 334 kertas siasatan pula telah diberi izin kompaun melibatkan tawaran kompaun berjumlah RM3.93 juta dan sehingga kini RM354,000 kompaun telah dibayar,” katanya.

Awang berkata kebanyakan kesalahan yang dilakukan oleh majikan adalah menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK), selain tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja.

Beliau berkata JTK dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan turut mengeluarkan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan setakat ini 734 tempat kerja telah diperiksa serta 158 kompaun.

“Ia melibatkan antaranya sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian dengan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM1.33 juta,” tambahnya. – BERNAMA

- Advertisement -