Poster program bakul makanan palsu – MP Pendang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim menafikan kesahihan sekeping poster yang tular di media sosial membabitkan dirinya dan program bakul makanan, kelmarin.

Poster berkaitan memaparkan wajahnya dengan mengaitkan program bakul makanan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Isnin.

“Untuk makluman, poster ini adalah palsu dan tidak dikeluarkan oleh mana-mana pegawai di bawah seliaan saya.

- Advertisement -

“Nombor telefon yang tertera juga adalah tidak berkaitan dan dinasihatkan mereka yang memerlukan bantuan terus berhubung dengan talian Pusat Khidmat Parlimen Pendang di talian +6013-533 8100 untuk sebarang urusan permohonan serta bantuan.

“Diharapkan pihak yang tidak bertanggungjawab segera menghentikan kerja-kerja penyebaran poster palsu ini,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, semalam.

Sementara itu, dalam hantaran berbeza, beliau menyarankan rakyat Kedah khususnya di Pendang memohon bantuan daripada pihaknya sekiranya memerlukan pertolongan.

Beliau menyeru agar rakyat menghubungi segera Pusat Khidmat Operasi Bencana (PKOB) atau Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) kawasan masing-masing.

“Kita sebagai rakyat ada pilihan untuk terus berusaha mendapatkan bantuan. Usah ada di kalangan kita yang mengambil jalan mudah menzalimi diri sendiri atau orang lain dengan cara yang tidak dibenarkan dalam Islam.

“Jagalah kemulian kita selagi terdaya untuk terus mencari jalan-jalan bantuan yang ada, disediakan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sepanjang mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, medium PKOB adalah medium terbaik yang menghubungkan rakyat dan wakil rakyat. – HARAKAHDAILY 2/7/2021

- Advertisement -