Lebih selesa angkat telefon dari kibar bendera

- Advertisement -

CADANGAN supaya masyarakat awam yang memerlukan bantuan mengibarkan bendera putih merupakan satu pendekatan yang kreatif, meskipun kemudiannya ada pihak berkepentingan politik telah menunggangi cadangan tersebut untuk kepentingan politik sempit mereka.

Bagaimanapun, melalui tinjauan rambang yang dilakukan kelmarin menunjukkan masyarakat awam yang memerlukan lebih selesa mengangkat telefon menghubungi pihak-pihak yang menawarkan bantuan, berbanding dengan mengibarkan bendera putih di rumah masing-masing.

- Advertisement -

Kempen mengibarkan bendera putih telah mula aktif dua hari yang lepas, dan serentak dengan itu juga pihak-pihak yang sebelum ini sememangnya telah giat menawarkan bantuan semakin mengaktifkan penyebaran maklumat hotlinemereka supaya kedua kaedah itu melengkapi satu sama lain.

Situasi ini sangat menarik untuk ditinjau, justeru saya telah cuba mendapatkan gambaran apa yang berlaku di lapangan, dengan meminta laporan dari pihak-pihak yang menawarkan bantuan antaranya jentera-jentera parti politik seperti PAS di akar umbi dan badan-badan bukan kerajaan.

Pihak-pihak yang menawarkan bantuan ini giat menyebarkan maklumat hotline untuk hubungi mereka, di samping turut meminta masyarakat awam untuk melaporkan kepada mereka sekiranya ternampak mana-mana premis kediaman mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan.

Terdapat juga jentera-jentera parti politik dan badan-badan bukan kerajaan yang lebih pro-aktif membuat rondaan bersama bakul-bakul makanan, terutama di kawasan yang dijangka ramai golongan rentan. Sekiranya mereka melihat sahaja ada bendera putih dikibar, mereka akan terus memberi bantuan.

Berdasarkan maklumat-maklumat yang diterima dari lapangan, boleh disimpulkan golongan yang memerlukan bantuan ini lebih selesa menghubungi pihak yang menawarkan bantuan sama ada melalui hotline atau melalui pemimpin masyarakat yang berhampiran berbanding mengibarkan bendera putih.

Tinjauan awal yang dilakukan ini masih belum sempurna sepenuhnya memandangkan kempen mengibarkan bendera putih masih baru sahaja bermula. Maklumat-maklumat di lapangan akan terus dikumpulkan untuk mendapatkan gambaran yang lebih tepat membuktikan hipotesis ini.

Kesimpulan awal yang boleh dibuat, golongan yang memerlukan lebih selesa untuk tidak mendedahkan masalah mereka secara terbuka, sebaliknya mendapatkan bantuan secara komunikasi yang lebih tertutup dan bersasar, iaitu dengan menghubungi pihak-pihak yang menawarkan bantuan atau pemimpin masyarakat.

Adalah dicadangkan agar pihak-pihak yang menawarkan dan memberi bantuan mendapatkan keizinan dari pihak penerima bantuan terlebih dahulu, sama ada foto mereka sewaktu menerima bantuan itu boleh diambil dan disebarkan sebagai iklan untuk melakukan crowd funding.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
AJK PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000491178707/posts/7159787010714267/

- Advertisement -