Cukup-cukuplah bermain politik di Selangor

- Advertisement -

BERITA Harian 19 Mei 2021 melaporkan: 

Sementara itu, Pengerusi Pasukan Khas COVID-19 Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan PKP tidak perlu dilaksanakan berikutan kadar kebolehjangkitan masih rendah berbanding negeri lain iaitu Kelantan dan Pahang.

Katanya, pasukannya dan Kerajaan Selangor berada dalam tahap baik menguruskan wabak berkenaan. Pelaksanaan PKP secara menyeluruh juga akan menjejaskan ekonomi negeri terutamanya peniaga kecil.

- Advertisement -

Itu laporan sebulan lebih yang lalu, kini 2 Julai 2021. Semalam sahaja Selangor mencatatkan 2,885 kes baru iaitu yang tertinggi dalam negara sehingga menjadi penyumbang besar kepada kes jangkitan baru seluruh negara. Akibatnya Kerajaan Persekutuan terpaksa isytiharkan PKPD selama 14 hari di sebahagian besar Selangor.

Mengapa sebelum ini Kerajaan Negeri cukup pasif dan memilih-milih untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan? Mungkinkah kerana taksub bermain politik? Rakyat sedang menderita mereka asyik berpolitik.

Sebulan lebih lalu bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly (PAN) mendakwa pasukannya dengan Kerajaan Negeri sedang menguruskan wabak itu dengan cukup baik di Selangor. Hari ini apa jadi? Apa sebenarnya kerja Pasukan Khas ini?

Kenapa Kerajaan Negeri tidak mengusulkan agar Selangor di‘lockdown’ seawal bulan lepas? Kenapa tidak dengan kedudukan kewangan yang banyak didirikan PPV di setiap 56 DUN dan 22 kerusi Parlimen bagi mempercepatkan proses vaksinasi dalam negeri?

Ini tidak bila diberi vaksin dari Pusat banyak tidak dapat digunakan kerana tidak cukup kemudahan, kenapa tidak didirikan kemudahan? Kenapa pihak berkuasa negeri tidak mengambil inisiatif memeriksa kilang-kilang yang beroperasi tanpa kebenaran? Mereka punya pasukan penguatkuasa yang besar di setiap PBT yang sebahagiannya punya kedudukan kewangan yang besar.

Terbukti Selangor bawah PH lebih gemar bermain politik. 19 Mei lalu mereka menuding jari kepada angka besar jangkitan di negeri lain dan disebut ketika itu Pahang dan Kelantan. Hari ini Pahang cuma 195 kes dan Kelantan 108 sedang Selangor 2,885 kes!

Cukup-cukuplah bermain politik dan menyalahkan orang lain dalam keadaan rakyat sedang susah. Jika Pasukan Khas ini gagal maka bubarkanlah sahaja. Jika Kerajaan Negeri gagal maka serah sahaja segala-galanya ke MKN. Rakyat Selangor mahu jaminan keselamatan dan keluar dari pandemik ini agar dapat hidup kembali normal. Jangan gadaikan masa depan mereka kerana sibuk bermain politik.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 2/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1543920805947250/

- Advertisement -