Aktiviti korban persendirian tidak dibenar di Kelantan

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
- Advertisement -

KOTA BHARU: Aktiviti korban persendirian atau keluarga sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini tidak dibenarkan di Kelantan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Khas Mengenai Pelaksanaan Ibadah Korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) 30 Jun lepas.

Katanya, sembelihan binatang korban hendaklah dilakukan di rumah sembelih ruminan Jabatan Veterinar (Kompleks Abatoir DVS) yang terdapat di Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas.

- Advertisement -

Manakala bagi aktiviti korban di masjid bandar, masjid jajahan dan mukim hendaklah mendapat kelulusan MAIK.

“Penganjur ibadat korban hendaklah menyediakan meja pendaftaran, hand sanitizer dan pengimbas suhu sebagai langkah awal sebelum memulakan pelaksanaan ibadah korban.

“Peralatan menyembelih, melapah dan memproses daging juga perlu berada dalam keadaan baik, bersih dan tajam sama ada disediakan penganjur atau dibawa oleh individu. Peralatan tersebut tidak boleh dikongsi.

“Setiap petugas yang hadir perlu diperiksa suhu badan dan direkodkan maklumat peribadi setiap kali menyertai ibadah korban,” katanya pada kenyataan hari ini.

Bagaimanapun kata beliau kanak-kanak yang berumur 15 tahun ke bawah, petugas berumur 70 tahun ke atas, pesakit berisiko tinggi dan individu yang berada dalam tempoh kuarantin akibat Covid-19 tidak dibenarkan hadir.

Individu yang mempunyai suhu badan 37.5°C ke atas atau yang bergejala tidak dibenarkan menyertai aktiviti dan perlu dirujuk kepada klinik kesihatan yang berdekatan.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, petugas aktiviti korban bagi seekor ternakan ruminan besar (lembu/kerbau) dalam sehari tidak melebihi 10 orang.

Bagi sembelihan seekor ruminan kecil (kambing/bebiri) pula tidak melebihi lima orang bagi keseluruhan aktiviti.

Selain itu jarak di antara lembu yang akan disembelih di rumah sembelihan atau masjid tidak kurang lima meter antara satu sama lain.

“Jumlah maksima dalam satu-satu masa sebanyak dua ekor manakala maksima dalam satu hari dihadkan sebanyak lima ekor.

“Peserta ibadah korban tidak dibenarkan hadir. Mereka hanya perlu mewakilkan kepada penganjur ibadah korban bagi menyempurnakan akad dan wakalah,” katanya.

Syarat pelaksanaan penyembelihan ternakan korban perlu mendapat kebenaran MAIK, Sijil Kesihatan Veterinar (SKV), permit menyembelih (DVS/Penggawa), tapak penyembelihan yang sesuai, bersih dan selamat serta tidak berhampiran saliran awam.

Manakala lokasi yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan.

Menurutnya juga agihan oleh petugas dilakukan secara langsung kepada peserta yang mengambil bahagian.

Bagi agihan dengan kehadiran peserta ditentukan penganjur dan tertakluk kepada keluasan kawasan serta mengelakkan 3S (sesak, sempit dan sembang dekat).

“Tidak dibenarkan mengadakan jamuan tetapi terus diagihkan kepada peserta yang mengambil bahagian.

“Kepatuhan semua pihak terlibat (penganjur, peserta dan petugas) dalam pelaksanaan ibadah korban insyaAllah akan dapat mengurangkan risiko dan membendung penularan wabak Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/7/2021

- Advertisement -