Oleh AIN MANAF
PASIR MAS: Penghulu mukim di Pasir Mas diharap sentiasa peka dan turun padang meninjau rakyat bagi memastikan tidak ada penduduk yang terputus bekalan keperluan harian.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, petugas Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan penghulu terpaksa bekerja keras bagi memastikan tidak ada rumah yang memasang bendera putih.
Kata beliau, sekiranya ada rumah yang didapati memasang bendera putih akan segera diberi bantuan bagi memastikan kelangsungan hidup mereka tidak terjejas.
“Kita akui ramai rakyat yang terkesan dalam tempoh pendemik Covid-19 kerana mereka tidak boleh bekerja bagi menampung keperluan keluarga.
“Jenis bantuan yang diperlukan setiap rakyat perlu diambil kira. Kita semua perlu bekerjasama dan setiap penghulu mukim perlu peka sekiranya ternampak ada bendera putih.
“Tidak dinafikan ada antara mereka mereka orang luar dari kawasan lain namun menetap dan menyewa di sini. Jadi kita juga akan cuba bantu mereka,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya juga, apabila kesemua penghulu mukim akan petugas bergerak aktif beliau yakin bendera putih di kawasan parlimen Pasir Mas dapat dikurangkan.
Kata beliau, dalam situasi sekarang penghulu dan petugas perlu bekerja di luar daripada normal biasa.
Ketika ditanya ‘trend’ menaikkan bendera putih sekarang, katanya yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, tindakan itu sebagai usaha mereka menzahirkan kesusahan dan kesempitan dihadapi.
“Rakyat mempunyai pelbagai inisiatif sendiri untuk menyatakan kesusahan mereka sehingga ada yang menaikan bendera putih.
“Itu terpulang kepada mereka dan selain menaikan bendera putih mereka juga perlu ada usaha menghubungi pimpinan setempat bagi mendapat bantuan,” katanya.
Manakala dalam perkembangan berkaitan sepasang suami isteri yang hilang punca pendapatan turut mengambil keputusan menaikkan bendera putih di hadapan rumah mereka di Kampung Gelang Mas.
Salmizan Yusof, 36, ibu kepada tiga anak yang menyewa di kampung berkenaan berkata, suaminya tidak dapat bekerja sekarang selepas PKP dilaksanakan.
“Sejak suami hilang pekerjaan, kami terpaksa menanggung tunggakan sewa rumah selama tiga bulan iaitu sebanyak RM350 sebulan,” katanya.
Menurutnya juga, selepas beliau menaikkan bendera putih, ada beberapa pihak datang memberi bantuan. – HARAKAHDAILY 1/7/2021