Oleh SARINA ISMAIL
POKOK SENA: Masjid Teluk Jamat antara masjid yang pertama dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kedah.
Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wan Romani Wan Salim berkata, langkah itu sejajar dengan usaha kerajaan memperluaskan PPV Covid-19 agar imunisasi berkelompok mencapai matlamatnya.
“Tahniah kepada jawatankuasa Masjid Teluk Jamat di atas inisiatif tersebut semoga dapat dicontohi masjid-masjid lain,” ujar beliau ketika lawatan ke masjid berkenaan semalam.
Hadir bersama pada lawatan itu Pegawai Daerah Pokok Sena, Ahmad Bawadir Abdul Ghani dan penolong pegawai daerah Wan Aidil Anwar Wan Azlan.
Sempena lawatan itu Wan Romani turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada petugas di PPV terbabit.
Kata beliau juga usaha seumpama itu secara tidak langsung dapat membantu penduduk tempatan dan berhampiran mendapat vaksin.
Katanya penduduk tidak perlu lagi ke PPV lain yang terletak agak jauh daripada rumah mereka.
“Langkah tersebut dapat membantu proses vaksinasi di peringkat komuniti supaya program imunisasi dapat disegerakan,” ujar beliau.
Operasi Pusat Pemberian Vaksin sementara di Masjid Teluk Jamat memberi manfaat kepada 251 penduduk, di mana kebanyakannya masyarakat tempatan.
Wan Romani yang juga Adun Bukit Pinang turut merakam penghargaan kepada kakitangan Jabatan Kesihatan dan sukarelawan yang menjayakan program vaksinasi berkenaan.
“Saya berharap usaha sebegini berterusan untuk memastikan lebih ramai rakyat Kedah menerima vaksin seterusnya mencapai matlamat imunisasi kelompok seperti yang disasarkan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 1/7/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!