PPN: PAS Sabah sokong pendekatan Ketua Menteri

Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
PAS Negeri Sabah menyokong penuh pendekatan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor untuk melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 di negeri itu.

Pelan Pemulihan itu telah dimulakan kelmarin dengan mengekalkan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 negeri Sabah.

Setiausaha PAS negeri, Dr. Aliakbar Gulasan berpendapat tindakan Ketua Menteri adalah wajar dan seharusnya mendapat sokongan dan dukungan daripada semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

- Advertisement -

Ini, ujarnya kerana faktor kes jangkitan Covid-19 harian bagi negeri Sabah berada di bawah angka yang rendah dan terkawal.

“Sabah bukan berada dalam kategori negeri yang merekodkan kadar jangkitan harian tinggi,” katanya.

Tambah beliau, hasrat kerajaan negeri membenarkan sektor ekonomi dan perniagaan terpilih untuk beroperasi dengan mematuhi SOP PKP 3.0 adalah wajar.

Katanya, ia sekali gus dapat mengurangkan tekanan dan bebanan kewangan yang dihadapi peniaga kerana tidak beroperasi untuk suatu tempoh yang lama akibat pelaksanaan PKP 3.0.

Selain itu, beliau berkata, SOP juga perlu lebih fleksibel khususnya kepada negeri yang mencapai kadar dan kes jangkitan yang rendah.

“Adalah adil dan bertepatan bahawasanya hasrat dan usaha Ketua Menteri Sabah kerana beliau melihat rakyat negeri ini sudah memberikan yang terbaik dalam pematuhan SOP dan usaha rakyat memerangi Covid-19.

“Keputusan ini juga menandakan bahawa kerajaan negeri mempunyai hala tuju tersendiri dengan mengambil maklum rintihan rakyat di negeri ini khususnya membabitkan aspek kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP untuk suatu tempoh masa yang lama,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Aliakbar, kerajaan negeri mesti tegas dan komited supaya kelonggaran itu dipantau sepenuhnya.

“Jika rekod jangkitan harian meningkat melebihi angka 200, adalah menjadi kewajaran untuk kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri mengambil tindakan pencegahan termasuk mengetatkan dan mengehadkan semula kebenaran operasi sektor ekonomi dan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut berharap usaha dan inisiatif Ketua Menteri Sabah akan mendapat sokongan semua pihak.

“Sekarang adalah masa untuk kita saling bantu membantu dalam memastikan Sabah bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19 sekali gus mencapai sasaran imuniti kelompok,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2021

- Advertisement -