PEMULIH: Rakyat segenap peringkat syukur, gembira

- Advertisement -

Oleh UMMU NIDHAL

TELUK INTAN:
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dianggap benar-benar prihatin apabila melancarkan lapan siri pakej bantuan bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Dan terbaru Isnin lepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion.

Timbalan Yang Dipertua PAS Teluk Intan Rostam Malik berkata, sehingga sekarang sudah lapan pakej rangsangan dilaksanakan kerajaan PN.

- Advertisement -

Katanya, ia jelas memperlihatkan kerajaan sekarang lebih cakna rakyat di mana sehingga sekarang sebanyak RM83 bilion suntikan fiskal diperuntukkan.

“PEMULIH menggambarkan kerajaan prihatin terhadap nasib rakyat dengan mendengar pandangan dan rintihan mereka di segenap peringkat.

“Bantuan dilaksanakan secara berfasa itu dijangka memberi manfaat kepada isi rumah dalam kalangan B40, M40 dan golongan bujang serta individu warga emas miskin tegar,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan barangan dapur kepada sembilan guru PASTI yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) hari ini.

Turut hadir Ketua Dewan Muslimat PAS Teluk Intan, Robi’atun Mohd Abas, Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan PAS kawasan, Noor Saadah Abas dan Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan, Hamisah Abas.

Rostam juga berkata, pakej khas PEMULIH jelas disambut dengan perasaan syukur dan gembira rakyat negara ini.

Kata beliau juga guru-guru PASTI antara golongan yang terkesan memandangkan elaun bulanan mereka hanya bergantung yuran persekolahan dibayar keluarga murid.

Sementara itu seorang Guru PASTI Zuraida Abu Zih berkata, keluarganya terpaksa berbelanja secara berhemat menggunakan wang simpanan yang ada kerana suaminya tidak dapat bekerja sepanjang PKP sekarang.

Sebelum ini PAS Teluk Intan melancar Tabung Bencana Covid-19 bagi membantu penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid 19. – HARAKAHDAILY 1/7/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -