Jarak Perlis-Thailand punca seludup daun ketum

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar 300 kilogram daun ketum di persisiran pantai muara Sungai Baru 4.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, sebaik menyedari diekori bot penguat kuasa, suspek memecut laju dengan berpatah balik menghala ke daratan.

- Advertisement -

Katanya mereka kemudian meninggalkan bot dalam kawasan berlumpur sebelum meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan dua suspek, terdapat enam bungkusan besar plastik hitam dan sejumlah bungkusan-bungkusan kecil ditemui di bahagian hadapan bot yang diubah suai.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kandungan bungkusan terbabit disyaki daun ketum dengan anggaran seberat 300 kilogram dan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran,” Katanya pada sidang media hari ini.

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan termasuk daun ketum, bot fiber berserta enjin sangkut bergalah dianggarkan sekitar RM69,000.

Katanya, semua hasil rampasan dan bot tersebut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” ujarnya.

Mohd Shafie juga berkata, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

“Jarak yang dekat antara Perlis dan Thailand merancakkan lagi aktiviti penyeludupan daun ketum ke Thailand.

“Zon Maritim Kuala Perlis akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan di sempadan perairan Perlis dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim,” ujarnya.

Oleh itu sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus hubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-985 1072 atau 04-985 1162. – HARAKAHDAILY 1/7/2021

- Advertisement -