Perlis pernah mohon diberi status PKP Pemulihan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Kerajaan Perlis membangkitkan supaya negeri itu diberi status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Menteri Besar Dato’ Seri Azlan Man cadangan itu ditolak.

“Namun saya akur dengan keputusan tersebut. Oleh itu kerajaan negeri akan terus berusaha keras menggalakkan rakyat untuk mendapatkan vaksinasi dengan segera,” ujarnya pada lontaran di media sosialnya semalam.

- Advertisement -

Kes harian di Perlis sejak seminggu lalu terus menurun sekitar tiga atau empat kes berselang-seli dengan sifar kes.

Malah, jumlah kes Covid-19 di Perlis yang aktif sehingga semalam hanya 27 kes.

Azlan juga berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) sekarang tidak dapat dinafikan memberi kesan terhadap kehidupan rakyat terutamanya golongan B40.

Katanya mereka merupakan golongan yang menerima upah secara harian tidak dapat bekerja kerana penularan wabak Covid-19.

“Kita juga telah meningkatkan bantuan-bantuan di bawah Program Agihan Makanan Asas (PAMA) dengan memberi peruntukan tambahan kepada setiap Pusat Khidmat Wakil Rakyat.

“Kita sedar peruntukan tambahan ini jauh daripada mencukupi berbanding mereka yang memerlukannya dengan mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan negeri,” ujarnya.

Menurutnya juga kelonggaran peniaga kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar dan medan selera beroperasi 6 pagi hingga 10 malam memberi ruang lebih luas rakyat mencari rezeki.

Azlan juga berkata, kerajaan negeri turut berusaha keras menggalakkan rakyat mendapatkan vaksinasi dengan segera.

Kata beliau apabila negeri itu mencapai ambang 40 peratus vaksinasi, sudah tentu fasa tiga boleh dilaksanakan dengan lebih mudah di Perlis.

“Apabila kita sudah mencapai ambang 40 peratus vaksinasi, sudah tentu fasa tiga boleh dilaksanakan dengan mudah di Perlis.

“Malah fasa empat juga boleh dicapai jika sudah mencapai kadar 80 peratus,” katanya.

Menurutnya sehingga sekarang sekitar 25 peratus penduduk Perlis menerima suntikan dos pertama vaksin, manakala 14 peratus menerima dua dos vaksin.

“Ayuh kita percepatkan suntikan vaksin dalam kalangan rakyat negeri ini untuk membolehkan imuniti kelompok berjaya dicapai dengan lebih cepat,” katanya.

Selain itu, kata beliau kontraktor-kontraktor G1 dan G2 juga dibenarkan melakukan kerja-kerja pembinaan, penyenggaraan dan pembaikan kritikal bagi projek-projek berskala kecil.

Dengan kelonggaran itu beliau berharap rakyat B40 mendapat peluang untuk mencari dan menambah pendapatan masing-masing.

“Mereka dapat meringankan sedikit bebanan kehidupan keluarga,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -