Penyatuan Ummah untuk negara, bukan agenda parti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyatuan Ummah tidak harus dilihat sebagai agenda politik kerana hakikatnya ia adalah satu usaha murni untuk menyatukan manusia bagi mentadbir dunia dengan keadilan Islam sepertimana diarahkan Allah S.W.T.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menjelaskan, dalam konteks negara ini, penyatuan yang diusahakan adalah perpaduan orang Islam dan bukan-Islam sebagai satu bangsa Malaysia.

- Advertisement -

Iaitu terang beliau, bangsa yang baik, berintegriti dan mempunyai satu wadah sama yakni berasaskan hidup dalam negara ini dengan kemahuan kepada keharmonian dan keamanan berteraskan Raja Berperlembagaan.

Tegasnya, formula terbaik bagi Penyatuan Ummah adalah dengan mengambil contoh tauladan pendekatan Rasulullah S.A.W di mana menyatukan masyarakat penduduk di Madinah al-Munawwarah suatu ketika dahulu.

Perincinya, penyatuan dimulakan dari kaum Aus dan Khazraj yang pernah berperang di mana perpecahan itu menyebabkan ekonomi dikuasai Yahudi, namun seluruhnya diikat kepada Sahifah Madinah dengan memberi keadilan untuk semua.

“Maknanya walaupun umat Islam telah bersatu, tetapi tidak berlaku kezaliman kepada kaum-kaum Yahudi yang sebelum itu mengambil kesempatan daripada pertembungan Aus dan Khazraj di bumi Madinah. Sebab itulah setelah disempurnakan Islam, maka Nabi Muhammad S.A.W diwafatkan. 

“Dan kepimpinan umat Islam disambung oleh Khulafa Ar-Rasyidin yang melaksanakan Islam yang sempurna. Tidak sampai satu abad, dalam jangka masa 100 tahun pengaruh Islam telah pun berkembang ke pelosok dunia. 

“Islam berjaya memerintah lebih daripada tiga perempat dunia lebih daripada 100 tahun, memerintah masyarakat majmuk, menyatukan umat Islam dan juga bukan-Islam,” kupas beliau.

Demikian itu jurutera teknologis profesional dalam bidang gas dan minyak ini sekali lagi menegaskan, Penyatuan Ummah tidak terhad kepada parti politik PAS, Umno dan BERSATU, tetapi setiap pihak yang mahu keadilan Islam.

Katanya, hasil penyatuan inilah telah menghasilkan kekuatan di mana antaranya membolehkan Malaysia menghadapi masalah COVID-19 ketika ini dan mahu untuk terus menjadi negara yang maju.

Perinci beliau lagi, Penyatuan Ummah ini dapat diadakan kerana formula keimanan yang mengikat kepada Allah Taala dan perhitungan dosa pahala serta pembalasan Hari Akhirat, sekali gus mengajak kepada kebaikan setiap masa.

Khairil Nizam turut membawakan pengajaran daripada bumi Palestin yang aman damai untuk semua agama yakni Islam, Yahudi dan Kristian semasa berada di bawah pemerintahan Islam khususnya Kerajaan Uthmaniyah.

Tetapi setelah berlaku Perang Dunia Kedua dan bumi umat Islam difaraid, maka berlakulah pertembungan demi pertembungan yang menindas dan menjarah sebahagian lainnya serta merampas keadilan.

Beliau mengupas akibat dari Perjanjian Sykes-Picot dan Deklarasi Balfour yang akhirnya memberi penguasaan ekonomi dan negara kepada penjajah serta pengisytiharan penyerahan Palestin kepada Yahudi.

“Sebab itu saya katakan Islam itu adil kepada semua. Kita sendiri sebagai sebuah negara Malaysia, walaupun kita hidup dalam berbagai kaum, berbagai etnik, tetapi alhamdulillah kita hidup dengan aman, kerana tonggak utamanya adalah Islam sebagai agama Persekutuan. 

“Di dalam negara kita ini ramai orang Islam yang ada awareness yang ada strength, yang ada kekuatan untuk kita memastikan Islam dapat dilaksanakan sebagai ad-Din. Ini kehebatan Malaysia. 

“Walaupun di sana kita ada mereka-mereka yang dinamakan sebagai ulamak, mereka-mereka yang mencintai Islam, tetapi oleh kerana Islam mengajar kepada kita untuk menghormati orang bukan-Islam, maka diberikan keadilan kepada semua. Ini negara kita. 

“Kadang-kadang orang luar ini, orang luar negara macam saya bekerja di dengan syarikat luar negara. Kadang-kadang mereka pun terfikir ‘what is the formula’ yang dilakukan oleh kerajaan negara ini menyebabkan keamanan berlaku. Ini yang saya katakan keadilan kepada semua.

“Maknanya radar terakhirnya ialah mesti kembali kepada Islam. Sebab itulah pada saya, apa yang berlaku dalam negara sekarang ini kita perlu memurnikan lagi Penyatuan Ummah ini. 

“Sebab kita tahu di dalam konteks perpaduan dan pemerintahan Malaysia yang bermasyarakat majmuk ini, kepimpinan utama negara perlu di kalangan orang Islam Melayu. Sebab kita adalah golongan majoriti. 

“Namun, kita tidak membiarkan kawan-kawan kita daripada bukan-Melayu, mereka bersama-sama membangunkan negara. Sebab itulah pada kami perjuangan penyatuan ummah ini bukan retorik, dan bukannya perjuangan bangsa. 

“Saya tidak nampak ia merupakan satu perjuangan bangsa. Kalau kita menganggap penyatuan ummah ini adalah perjuangan bangsa, kita silap. Sebab itulah daripada awal lagi prinsip yang saya nyatakan tiga prinsip utama tadi semuanya berlegar kepada Islam.

“Penyatuan ummah yang kita bawa adalah penyatuan yang dibawa melalui radar Islam,” simpul beliau. – HARAKAHDAILY 29/6/2021

- Advertisement -