Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin semalam dianggap mampu meredakan kekangan persekitaran yang berlaku sekarang.
Pakar Psikiatri Dr Muhammad Zulazri Mohd Yusoff berkata, inisiatif yang diumumkan itu menggambarkan kerajaan mendengar denyut nadi serta suara hati rakyat.
“Jika tekanan (stress) macam mana pun, manusia hanya mendapat sokongan mental tetapi perut tidak diisi, anak-anak tidak dapat makanan, manusia masih akan stress juga.
“Fizikal dan mental perlu diisi, contohnya seperti langsung tidak boleh bersemuka dengan kawan-kawan, tak boleh bersenam maka perkara ini akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Maksudnya apabila mengalami tekanan, bukan ubat sahaja yang diperlukan malah keadaan persekitan mental dan fizikal perlu dibantu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya juga manusia apabila berada dalam keadaan kesusahan yang melampau dan berterusan maka tidak mampu untuk bertahan sehingga timbul masalah bunuh diri seperti yang berlaku sekarang.
“Jika kita mengalami tekanan yang biasa, mental dan fizikal mungkin boleh bertahan lagi, tetapi apabila keadaan kesusahan yang berterusan maka manusia tidak lagi dapat menampung keadaan itu begitu lama.
“Permulaannya minda boleh bertahan lagi tetapi bila sudah lama, minda pun sudah tidak mampu dan yang paling penting apabila keadaan kesusahan berterusan, fizikal juga akan tindak balas seperti mengalami kesakitan,” ujarnya.
Menurutnya juga kemurungan akan menjurus sehingga hendak bunuh diri sekiranya tidak ditangani lebih awal.
“Ada orang yang lebih berisiko untuk mendapat kemurungan contohnya apabila dibuang kerja, mental akan tertekan tambahan pula tidak dapat berhubung dengan masyarakat luar seperti biasa maka ia akan lebih memburukkan keadaan,” katanya.
Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej PEMULIH berjumlah RM150 bilion bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 29/6/2021