PEMULIH: Kerajaan PN cakna keperluan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion menunjukkan sikap kebertanggungjawaban Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang cakna kepada keperluan rakyat tanpa mengenal erti penat lelah dan putus asa sejak penularan wabak Covid-19.

Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyanjung tinggi di atas ilham kepimpinan anggota Kabinet diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa merancang dalam penyediaan pakej rangsangan, pakej perlindungan, pakej pemerkasaan serta pakej pemulihan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, ini suatu pengorbanan besar Kerajaan PN demi rakyat jelata untuk memastikan setiap agenda prihatin rakyat direalisasikan.

- Advertisement -

Di samping itu, katanya kelangsungan perniagaan terus disokong serta usaha meningkatkan vaksinasi dilipatgandakan supaya tercapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun 2021.

“Tidak usahlah pihak tertentu berebut-rebutkan kuasa, jawatan atau peralihan kepimpinan politik pada waktu susah payah rakyat jelata serta kepayahan negara yang masih mendepani pandemik Covid-19, yang akhirnya merugikan rakyat dan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, kepentingan pemulihan ekonomi negara adalah agenda paling penting.

“Bagi mencapai pemulihan itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berharap pelaksanaan meningkatkan vaksinasi digerakkan secara tuntas dan komprehensif,” tambahnya.

Menurutnya, logistik dan pengangkutan perlu dijadikan teras utama dalam soal mobiliti tidak kiralah pihak berwajib masuk ke setiap lorongan rumah kediaman di bandar-bandar mahu pun laluan kampung atau desa di kawasan pedalaman.

Katanya lagi, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu lebih dinamik dari aspek lokasi dan pergerakan walaupun telah dirancang secara pandu lalu, PPV Bergerak serta adanya program Outreach Home-to-Home dengan peruntukan keseluruhan RM200 juta.

Ini, ujarnya termasuklah proses pendaftaran vaksin dipermudahkan terutama di kawasan pedalaman yang memerlukan kesegeraan proses vaksinasi yang lazimnya tiada kemudahan internet dan prasarana yang lain.

Sehubungan itu, kata beliau Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara turut mendapati semua golongan rakyat Malaysia termasuk B40, M40 dan T20 tidak tercicir dalam pelaksanaan PEMULIH.

Ini, jelasnya adalah satu contoh terbaik kerajaan PN mengambi kira keluhan dan nadi denyut rakyat jelata.

“Adalah diharapkan sistem penyampaian dan agihan seperti kemudahan pengeluaran baharu daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra, kemudahan moratorium automatik selama enam bulan, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 dan Bantuan Bakul Makanan adalah sifar birokrasi,” ujarnya yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia.

Di samping itu, tambahnya Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga berharap peruntukan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing, tidak mengecualikan juga Ahli Dewan Negara.

Di bawah PEMULIH, kata beliau pastinya komuniti perniagaan dan usahawan menarik nafas lega dengan beberapa pendekatan yang lebih mesra diambil termasuk mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

“Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mengalu-alukan langkah berhemah Kerajaan PN yang menyediakan bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 serta Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

“Moga di bawah pelaksanaan PEMULIH dan kebijaksanaan pemerintah, maka pembangunan ekonomi negara dapat dipulihkan mengikut yang dirancang, moga sebaik-baiknya negara Malaysia akan bebas Covid-19 apabila memasuki tahun 2022, insya-Allah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 29/6/2021

- Advertisement -