Normalisasi zina perlu ditangani secara serius

Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

PADANG SERAI:
Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan normalisasi zina yang diharamkan Islam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketuanya, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, perbuatan itu bercanggah dengan norma yang ditetap dan ditentukan oleh Allah SWT.

“Perkara ini sekiranya tidak ditangani dengan serius akan mewujudkan masyarakat yang kehidupannya bercelaru serta menyuburkan lagi masalah sosial dan keruntuhan akhlak,” ujarnya.

- Advertisement -

Menurutnya lagi, perkahwinan bertujuan untuk melahirkan zuriat dan menjauhi zina, sementara akad nikah pula menghalalkan ikatan pasangan berkenaan.

Beliau berkata demikian ekoran wujudkan kumpulan maya ‘tukar pasangan suami isteri suka sama suka’ yang menular luas sejak kebelakangan ini.

Tambah Ashah, perbuatan seperti itu tanpa mengira halal dan haram dianggap lebih teruk daripada binatang serta luar batasan pemikiran manusia.

“Saya memohon agar tindakan diambil kepada kumpulan dan pemilik page atau laman sosial terbabit yang menjadikan perbuatan haram serta tidak bermoral itu sebagai hiburan atau suka-suka semata-mata memuaskan nafsu mereka,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.

Justeru itu, Exco Kerajaan Negeri Kedah itu juga mengharap kerajaan bertindak tegas dan jangan membiarkan perkara itu berlarutan hingga mengundang bala Allah ke atas umat manusia.

Sehubungan itu juga, beliau yang mewakili Dewan Muslimat PAS Kedah turut melahirkan rasa dukacita kerana dengan perbuatan itu membuktikan ada dalam kalangan rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam masih jahil dengan hukum serta peraturan Allah SWT.

Perbuatan itu katanya hanyalah berpaksi kepada keseronokan tanpa batasan agama di mana natijahnya akan melahirkan masyarakat songsang serta mengundang bala Allah SWT.

“Apabila berlaku zina maka akan lahirlah anak-anak yang tidak tahu statusnya. Nak dibin atau dibintikan dengan siapa?

“Masyarakat sekeliling perlu menjadi mata telinga kepada jiran-jiran. Perbuatan ‘menjaga tepi kain orang’ masa kini perlu ada, bukan untuk mencari aib sebaliknya untuk memastikan gejala sebegini tidak menular.

“Sekiranya tidak dikekang atau diambil tindakan, ia akan terus merosakkan institusi kekeluargaan, masyarakat dan masa depan generasi akan datang,” tambah beliau lagi.

Sebelum ini Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh turut mengecam perbuatan normalisasi zina itu.

Beliau berkata pengguna media sosial terbabit wajar dikenakan tindakan di bawah Syeksen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Syeksen 49 Percubaan Persetubuhan Haram, Enakmen Jenayah (Syariah) 1992.

Katanya, perbuatan tidak bermoral itu adalah satu cubaan menormalisasikan zina secara terbuka melibatkan umat Islam yang telah berkahwin. – HARAKAHDAILY 29/6/2021

- Advertisement -