Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sedang mengenal pasti dokumen kelahiran melibatkan tiga bayi yang dikatakan tertukar di sebuah hospital di negeri itu kira-kira 20 tahun lalu.
Pengarahnya Dato’ Dr Selasawati Ghazali berkata, setakat ini pihaknya tidak mengetahui hospital mana yang terlibat memandangkan laporan media hanya menyatakan salah sebuah hospital di Kota Bharu.
Kata beliau pihaknya cuba mendapatkan rekod kelahiran bayi yang didakwa tertukar itu memandangkan kejadian itu berlaku lebih 20 tahun lalu.
“Pihak kami cuba mendapatkan rekod kelahiran mereka, dan perkara ini juga bukan senang sebab ia juga melibatkan banyak prosedur dan pelbagai pihak dan rumit.
“Kemungkinan rekod kelahiran mereka masih tersimpan atau sebaliknya memandangkan kejadian sudah lama berlaku 20 tahun lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada program sumbangan barangan perubatan disampaikan Persatuan Tzuchi Budhist Kelantan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC) Tanjung Chat.
Semalam sebuah akhbar melaporkan dua keluarga dikatakan terpaksa melalui kisah tragis apabila tiga bayi yang dilahirkan 20 tahun lalu, tertukar dipercayai selepas dilahirkan di sebuah hospital di Kota Bharu pada 2001.
Laporan itu menyebut Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, dan ‘kembarnya’ Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, pada September lepas setelah menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Dr Selasawati berkata, siasatan perlu dilakukan dengan teliti bagi menyemak fail dan dokumen kelahiran memandangkan sebelum ini ada di antara dokumen turut dilupuskan ekoran bencana banjir.
“Saya juga sedia menerima dengan rela hati, jika ahli keluarga bayi yang tertukar 20 tahun datang bertemu dalam usaha mendapatkan kepastian.
“Untuk merumuskan apa yang berlaku agak terlalu awal dan buat masa ini kita akan buat siasatan dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/6/2021