Oleh HAZIMAH LANUS
KALABAKAN: PAS Sabah menyambut baik tindakan kerajaan mewujudkan task force bagi menangani isu penghinaan agama serta usaha pihak tertentu yang mempromosi gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ketua Penerangannya, Ahmad Dullah menyifatkan tindakan pihak yang menghina agama serta melakukan promosi LGBT adalah tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan norma serta budaya hidup masyarakat negara ini.
Katanya lagi, perkara itu jika dibiarkan akan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara ini.
“Oleh sebab itu, tindakan undang-undang yang lebih tegas perlu diambil ke atas mereka bagi memastikan masyarakat terus hidup dengan keadaan aman dan harmoni.
“Semoga pelan tindakan daripada Task Force Menangani Isu LGBT dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.
Khamis lalu, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata tindakan tegas secara bersepadu dalam kadar segera dilaksanakan bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi gaya hidup LGBT khususnya di media sosial.
Beliau menyatakan perkara itu setelah selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Menangani Isu LGBT yang diurusetiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Katanya, antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.
Menurutnya, Task Force Menangani Isu LGBT itu diwujudkan selari dengan Pelan Tindakan Sosial Islam yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM.
Tambahnya, tujuan mesyuarat khas semalam ialah untuk membincangkan secara khusus berkenaan penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama melalui promosi gaya hidup LGBT di media sosial. – HARAKAHDAILY 27/6/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!