SELASA lalu, Taliban telah menawan laluan utama rentas sempadan antara Aghanistan dan Tajikistan di utara Shir Khan Bandar, 50 km dari bandar Kunduz, utara Afghanistan berikutan berlakunya pertempuran antara tentera Kerajaan Afghanistan dan pejuang Taliban yang menyebabkan kekalahan tentera Kerajaan Afghanistan.
Berikutan kekalahan dalam pertempuran tersebut, tentera Kerajaan Afghanistan telah meninggalkan pos-pos kawalan mereka di kawasan terbabit dan tidak kurang juga ada yang menyeberangi Tajikistan. Menurut Khaliddin Hakmi, ahli majlis daerah Kunduz, Taliban telah mengambil alih keseluruhan Shir Khan Bandar dan pelabuhannya termasuk juga pos kawalan sempadan.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid telah mengesahkan perkara tersebut dengan menyatakan bahawa Taliban telah menguasai keseluruhan Shir Khan Bandar dan pelabuhanya termasuk pos kawalan sempadan yang terletak selatan Sungai Pyanj yang menghubungkan Tajikistan-Aghanistan.
Kekalahan tentera Kerajaan Afghanistan di Shir Khan Bandar menggemparkan banyak pihak terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana dengan jatuhnya Shir Khan Bandar ke tangan Taliban, ia adalah satu tamparan hebat buat Kerajaan Afghanistan, PBB dan negara-negara yang sedang mengundurkan tenteranya dari Afghanistan berikutan kedudukan strategik dan kepentingan ekonomi Shir Khan Bandar.
Sejak pengumuman Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya pada Mei tahun ini untuk memulakan pengunduran tentera mereka dari bumi Afghanistan yang dijangka akan berakhir pada 11 September, Taliban telah mula mengorak langkah menawan banyak wilayah dan kawasan-kawasan strategik di Afghansitan.
Sejak Mei tahun ini, Taliban telah menawan lebih kurang 50 daripada 370 wilayah di seluruh Afghanistan dan kebanyakkan daripada wilayah-wilayah yang ditawan ini adalah mengelilingi bandar-bandar utama dalam satu-satu kawasan yang lebih besar dalam beberapa wilayah.
Menurut penilaian NATO dan PBB, ia adalah satu strategi oleh Taliban di mana apabila keseluruhan tentera-tentera asing selesai berundur dari Afghanistan pada 11 September nanti, ia akan memudahkan Taliban untuk menawan bandar-bandar utama tersebut termasuk Kabul dan seterusnya menawan kembali keseluruhan Afghanistan.
Presiden Afghanistan Ashraf Ghani dan ramai pemimpin barat khuatir dengan lonjakan kuasa Taliban yang sedang berlaku dengan semakin banyak wilayah ditawan dan dikuasai oleh mereka. Oleh itu Jumaat ini, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken akan mengadakan pertemuan dengan Ashraf Ghani dan delegasi pegawai tertinggi dari Kerajaan Afghanistan di Rumah Putih untuk membincangkan permasalahan tersebut.
Malah banyak dari kalangan anggota dewan senat dan perwakilan Amerika Syarikat termasuk dari ahli politik dari negara-negara Eropah memohon agar dipertimbangkan pengunduran sepenuhnya tentera-tentera asing terutamanya NATO dan Amerika Syarikat dari Afghanistan termasuk ada yang mahu pengunduran tersebut dibatalkan berikutan tindakan Taliban yang telah mula mengorak langkah menawan lebih banyak wilayah di Afghanistan sejak Mei tahun ini.
Ungkapan-ungkapan seperti ekstrimis Islam dan terorisme Islam mula kembali kedengaran di kalangan ahli-ahli politik Amerika Syarikat dan Eropah bila diungkap kembali perseteruan politik yang berlaku saat ini di Afghanistan.
Rata-rata ahli politik Amerika Syarikat dan Eropah telah mula berbicara tentang bahayanya Taliban jika dibiarkan kembali berkuasa di Afghanistan di mana ia akan mengakibatkan merebaknya kembali kumpulan radikal Islam yang akan mengakibatkan berlakunya terorisme di seluruh dunia sebagaimana berlakunya peristiwa pada 11 September 2001.
Sudah tentu apa yang berlaku di Afghanistan saat ini merupakan igauan ngeri buat Amerika Syarikat dan sekutunya. Apa yang berlaku sudah tentu memberikan imej buruk kepada Amerika Syarikat berikutan banyak polisi luarnya gagal semenjak dari Donald Trump mengambialih pentadbiran Amerika Syarikat.
Malah Donald Trump sendiri ketika menjadi Presiden Amerika Syarikat beberapa kali telah cuba mengusahakan pelan damai Afghanistan. Walaupun pada satu ketika ia telah hampir menjadi kenyataan namun telah dibatalkan pada saat saat akhir oleh Donald Trump pada penghujung 2019.
Mungkin apa yang berlaku saat ini menjadi berita buruk buat Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya namun ia tidak buat Rusia, Iran dan China. Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejak beberapa bulan lalu selain daripada Iran yang sememangnya mempunyai hubungan yang baik dengan Taliban, Rusia dan China secara belakang tabir sebenarnya telah mula memainkan peranan untuk menolak Amerika Syarikat dan sekutunya keluar dari Afghanistan untuk muncul sebagai kuasa geopolitik terbesar di Asia Tengah.
Semuanya bermula setelah delegasi Taliban yang diketuai oleh Mullah Abdul Ghani Baradar yang juga Timbalan Ketua Taliban berkunjung ke Moscow, Rusia pada Januari tahun ini untuk menemui wakil khas Presiden Rusia untuk Aghanistan, Zamir Kubalov bagi membincangkan masa depan Afghanistan dan kaedah untuk menamatkan perang saudara yang berlaku ketika ini.
Setelah selesai perbincangan serta rundingan antara kedua-dua pihak, Zamir Kubalov dalam kenyataannya pada media berkata Taliban menyokong usaha yang dilakukan oleh Rusia yang bertujuan untuk mencapai keamanan berkekalan di Afghanistan.
Malah Rusia juga turut mencadangkan kepada Kerajaan Afghanistan agar dimasukkan wakil Taliban dalam kerajaan interim baharu yang dicadangkan Amerika Syarikat dalam pelan damai terbaharunya bagi menggantikan pentadbiran sedia ada sehingga pilihan raya baharu dilangsungkan.
Sidang damai yang diusahakan Rusia pada Mac tahun ini dengan menjemput Taliban, Kerajaan Afghanistan, Amerika Syarikat, China dan Pakistan menampakkan usaha Rusia untuk menjadi kuasa geopolitik berpengaruh di Asia Tengah.
Kehadiran China dalam sidang damai tersebut juga telah secara jelas menunjukkan bahawa China sememangnya memainkan peranan penting dalam usaha damai Afghanistan selain tujuan utamanya untuk menguatkan pengaruh geopolitiknya di Afghanistan terutamanya di Asia Tengah.
Sudah tentu China bersama-sama dengan Rusia dalam usaha ini bagi mengendurkan keadaan di Afghanistan tetapi disebalik semua itu, Rusia dan China sememangnya ingin Amerika Syarikat dan sekutunya keluar dari bumi Afghanistan sebagaimana yang dilakukan oleh Rusia di beberapa negara di Asia Barat bagi menghapuskan dominasi dan kuasa imperialis Amerika Syarikat di serata dunia.
Selepas sidang damai di Moscow, Rusia, Turki pula telah menyatakan kesediaan untuk menganjurkan sidang damai bagi menyambung semula proses yang telah berlangsung di Doha, Qatar pada tahun sebelumnya yang tertangguh akibat daripada beberapa isu yang tidak dipersetujui oleh Taliban mahupun Kerajaan Afghanistan.
Setelah Turki mendapat sokongan daripada beberapa negara seperti Qatar, Pakistan, Afghanistan termasuk Amerika Syarikat untuk meneruskan cadangan sidang damai tersebut, ditetapkan isu-isu berbangkit yang perlu diselesaikan serta tarikh dan tempat persidangannya telah dipersetujui, sidang tersebut ditangguhkan pada saat-saat akhir tanpa ada penjelasan lanjut.
Minggu lalu di atas saranan NATO dan Amerika Syarikat, Turki diberikan kebenaran untuk mengawal Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, satu-satunya lapangan terbang antarabangsa di Afghanistan. Taliban menentang keras cadangan tersebut dengan memberikan kata putus sebagaimana sebelumnya bahawa semua tentera asing termasuk dari Turki perlu berundur dari Afghanistan dan tiada pihak asing perlu campur tangan dalam pengawalan lapangan terbang tersebut melainkan kuasa atau pemerintah dari Afghanistan sendiri.
Jika diperhatikan segala tindak tanduk Rusia, China dan Turki dalam cubaan mencari penyelesaian konflik atau perang saudara di Afghanistan, ia sebenarnya adalah satu keadaan yang sama sebagaimanan yang berlaku di Libya sebelum ini mahupun Syria yang mana akhirnya Amerika Syarikat hilang kuasa mahupun pengaruh di kedua-dua buah negara.
Iran yang sememangnya menjadi sekutu kuat Taliban dan tidak perlu lagi dipertikaikan tindak tanduk mereka yang tentunya memihak kepada Taliban. Tambahan pula dengan Ebrahim Raisi menjadi Presiden baharu Iran, sudah tentunya ketegasan Iran dalam menangani kuasa geopolitik Amerika Syarikat menyokong tindakan Taliban menghalau Amerika Syarikat keluar dari bumi Afghanistan sebagaimana kehendak Taliban.
Namun apa yang berlaku di Afghanistan hampir sama dengan keadaan di Libya cuma keadaannya sedikit berbeza. China di Libya mengawal lebih 45 peratus dari ekonomi Libya berikutan banyak syarikat-syarikat China baik dari sektor swasta mahupun syarikat berkaitan kerajaan milik China menjalankan perniagaan di Libya.
Selain menjalankan perniagaan, sudah tentu ia membuka peluang pekerjaan kepada anak watan Libya yang sedang menempuhi keadaan sukar apatah lagi sektor minyak dan gas yang menjadi sumber ekonomi terbesar Libya mengalami kemerosotan teruk berikutan kejatuhan pengeluaran minyak dan gas akibat perang saudara yang berpanjangan.
Akibat penguasaan ekonomi oleh China di Libya, China mempunyai “bargain power“ untuk mendamaikan kumpulan yang bertelagah, baik yang kepada ketua militia Khalifa Haftar dan juga yang memihak kepada Kerajaan GNA yang mentadbir Libya sebelum ini kerana kedua – keduanya mempunyai kepentingan bersama dengan China.
Dalam situasi di Afganistan, China adalah pelabur terbesar di Afghanistan dan telah melabur dalam pelbagai sektor ekonomi seperti perlombongan serta minyak dan gas yang kini telah melebihi USD1 bilion. Afghanistan juga adalah pintu utama China untuk menembusi pasaran Asia Tengah yang lebih luas selain menjadi nadi utama inisiatif “Belt & Road“ ke Asia Tengah dan Eropah yang menjadi kebangsaan ekonomi China.
Sudah tentu China akan memainkan peranan utama di Afghanistan sebagai kuasa ekonomi utama sebagaimana di Libya yang hari ini telah menampakkan hasilnya berikutan penubuhan kerajaan interim baharu yang mengambilalih pemerintahan dari Kerajaan GNA.
Rusia dan Turki akan memainkan peranan yang sama sebagaimana di Libya tetapi dalam keadaan yang berbeza. Di Libya, Rusia adalah dalang yang seolah-olah cuba memporakperandakan Libya dengan membawa masuk tentera upahan untuk bertempur dengan kumpulan pejuang mahupun tentera Kerajaan GNA Libya manakala Turki pula di Libya dilihat sebagai kuasa tentera atau kuasa utama yang cuba membawa kestabilan di Libya.
Di Afghanistan, Turki pula dilihat sebagai kuasa atau tentera negara asing yang tidak mahu meninggalkan Afghanistan dan mahu masuk campur dalam urusan politik serta konflik mahupun perang saudara di Afgahnistan. Rusia pula kali ini dilihat sebagai kuasa pengimbang mahupun pendamai dalam usaha mencari solusi damai serta kestabilan di Afghanistan.
Dalam situasi di Libya, ia berpihak kepada Rusia, Turki dan China di mana Amerika Syarikat langsung tidak berperanan dan tidak mempunyai pengaruh dalam konflik di Libya. Cuma setelah selasai penubuhan kerajaan interim di Libya, Amerika Syarikat kelihatan cuba mencari pengaruh dengan cuba masuk campur melalui PBB namun usaha itu kelihatan telah lewat.
Situasi sama juga bakal berlaku di Afghanistan berdasarkan keadaan semasa saat ini dan kelihatan Amerika Syarikat bakal kehilangan pengaruh dan kuasanya secara total di Afghanistan dan Asia Tengah.
Ketegasan Taliban dalam soal pengunduran tentera asing sepenuhnya dari bumi Afghanistan juga bakal memberi impak besar jika Amerika Syarikat dan sekutunya cuba menarik balik pengunduran tersebut kerana berdasarkan keadaan sekarang, Taliban tidak akan berhenti meluaskan wilayah yang dikuasainya dan tidak gentar berhadapan dengan Amerika Syarikat mahupun sekutunya.
Mungkin Afghanistan adalah tali hayat terakhir untuk Amerika Syarikat meneruskan legasinya sebagai kuasa “Superior“ dunia. Konflik Amerika Syarikat – China di Asia Pasifik dan Laut China Selatan juga dilihat sebagai gagal memberikan impak besar untuk menaikkan pengaruh Amerika Syarikat sebagai kuasa utama dunia.
Kisah penguasaan geopolitik Amerika Syarikat di Asia Barat hanya menunggu masa untuk menamatkan kuasa imperialismanya sahaja. Polisi Amerika Syarikat telah dilihat sebagai “total failure“ tambahan serangan regim zionis Israel selama 11 hari ke atas Semenanjung Gaza baru-baru ini telah membangkitkan kemarahan dunia terhadap regim zionis Israel dalam skala yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Apakah Amerika Syarikat bakal berkubur sebagai kuasa besar dan kuasa utama geopolitik dunia? Hanya masa, keadaan dan ketentuan Allah SWT yang mampu merencanakannya. Sama-sama kita doakan yang terbaik buat Afghanistan dan rakyatnya agar berjaya mencapai keamanan dan kestabilan yang berpanjangan.
Islam Memperkukuh Perpaduan
YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 26/6/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!